Dalam usaha mengekalkan kebersihan pantai di negara ini, sebuah program kemasyarakatan telah dijayakan warga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama komuniti baru-baru ini.
Program dikenali sebagai ‘beach clean up’ itu dianjurkan Perpustakaan Laman Hikmah UTeM dan diadakan di Pantai Siring serta Pulau Burung yang terletak di Jasin, Melaka.
Ia turut mendapat kerjasama Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka serta penglibatan Pusat Kesihatan UTeM dan Kelab Sahabat Perpustakaan yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi universiti.
Ketua Pustakawan UTeM, Siti Saluwa Jamal berkata, ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat di samping melaksanakan ‘Knowledge Sharing
Transfer Program’ bagi memupuk kebersamaan, mendidik dan menyumbang kepada komuniti setempat.
Ujarnya, usaha ini turut menjadi elemen penyumbang kepada inisiatif memajukan Pantai Siring dan Pulau Burung sebagai salah satu destinasi tarikan pelancongan di kawasan Jasin.
“Menerusi program yang telah dilaksanakan di kedua-dua kawasan ini, kami telah berjaya mengumpul sebanyak 500 kilogram sampah yang berupa sisa pepejal.

“Usaha berterusan menjaga kelestarian alam sekitar secara berperingkat serta penerapan budaya menjaga kebersihan persekitaran di kawasan pantai ini perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Tambahnya, menerusi program itu juga, pihak UTeM menjadi institusi pendidikan awam pertama yang telah berjaya membangunkan sebuah ruang bacaan di Pantai Siring.
Ia menempatkan sejumlah 306 naskhah buku dan majalah hasil sumbangan Perpustakaan Laman Hikmah bagi tujuan bacaan umum untuk dimanfaatkan oleh komuniti setempat.
Sementara itu, pengarah program merangkap Timbalan Ketua Pustakawan, Mahadir Che Ali berkata, papan tanda program ‘beach clean up’ telah dinaikkan di Pulau
Burung sebagai tanda projek komuniti pertama telah dilaksanakan pihak UTeM di pulau tersebut.
“Ini adalah seiring dengan hasrat pihak kerajaan tempatan yang sedang giat berusaha memajukan Pantai Siring dan Pulau Burung sebagai destinasi pelancongan berdaya tarikan tinggi di Melaka,” terang Mahadir.
Mengulas lanjut katanya, antara pengisian lain program adalah dengan mengadakan program pemeriksaan dan konsultasi kesihatan oleh Pusat Kesihatan UTeM.
Ia sekali gus memberi manfaat kepada lebih 60 orang penduduk tempatan.
Lebih menarik, program ini berjaya mendapat sumbangan dan kerjasama daripada Yayasan Bank Rakyat, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Serkam, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pulai dan Persatuan Nelayan Kawasan Jasin.
Tidak setakat itu, Jawatankuasa Pembangunan Nelayan Pantai Siring, Majlis Perbandaran Jasin dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam turut menjayakan program.
Majlis perasmian penutup disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Serkam, Datuk Zaidi Attan yang memuji usaha murni UTeM dalam memastikan kawasan pantai kekal bersih dan menarik sebagai destinasi pelancongan.














