Wan Aishah Suhada Nazih atau mesra dipanggil Dada, 20 tahun yang merupakan anak bongsu dalam keluarga. Panggilan mesra Dada bukan sahaja digunakan oleh rakan-rakan, tetapi juga keluarga sejak kecil, menjadikannya sebahagian daripada identitinya yang istimewa.
Membesar dalam dua budaya, iaitu Thai dan Melayu, dia bertuah kerana dapat menghayati keunikan tradisi keduanya.
Kepada Kosmo! Ahad, Dada berkongsi dia amat gemar melukis pada waktu lapang, menjadikan aktiviti itu sebagai cara untuk mengekspresikan diri dan menenangkan fikiran. Dalam dunia seni, Dada menjadikan karya pelukis terkenal Belanda, Vincent Van Gogh sebagai sumber inspirasi.
Ceritakan mengenai diri anda?
Dada: Orang biasa panggil saya Dada, termasuk keluarga. Dari kecil keluarga memang panggil saya Dada sebab saya anak bongsu dalam keluarga.
Bagaimana budaya Thai dan Malaysia mempengaruhi diri anda hingga kini? Adakah pandai bertutur bahasa Thai?
Saya dibesarkan dalam dua budaya, jadi saya rasa sangat bertuah. Kedua-dua budaya ini mengajar saya lebih menghargai perbezaan tradisi atau agama. Ya, saya pandai bercakap bahasa Thai, walaupun tak fasih sepenuhnya.
Adakah masih belajar dan kerjaya masa kini?
Sekarang saya sudah habis belajar dan memberikan fokus sepenuhnya dalam kerjaya sebagai content creator dan juga model.
Kenapa tidak berminat menyambung pelajaran?
Sejak sekolah menengah, saya dah mula cari duit sendiri dengan berbisnes dan juga menjadi model.
Saya rasa minat dan fokus lebih kepada membina kerjaya dari usia muda. Walaupun tak sambung belajar secara formal, pengalaman dalam bidang ini banyak mengajar perkara berharga.

Apakah hobi masa lapang atau cara anda healing?
Saya suka melukis dan membuat kek. Melukis sangat menenangkan, ia macam terapi untuk saya. Saya suka karya Vincent van Gogh, terutama Starry Night. Saya rasa seni dia ada emosi mendalam dan sangat terinspirasi.
Kenapa memilih untuk menjadi pencipta kandungan?
Saya pilih untuk menjadi pencipta kandungan sebab suka berkongsi kreativiti dan inspirasi dengan orang lain.
Kalau bukan kerjaya ini, mungkin saya menjalankan perniagaan kerana saya sudah ada asas dalam dunia bisnes.
Sejak bila mula berkecimpung dalam bidang modeling?
Saya mula berkecimpung dalam bidang modeling sejak umur 16 tahun.
Pada masa itu, saya terinspirasi untuk ikut jejak langkah kakak-kakak saya yang sudah berpengalaman dalam bidang ini. Mereka banyak memberi galakan dan tunjuk ajar. Dari situ, minat saya semakin mendalam sehingga aktif dalam bidang ini sampai sekarang.
Pengalaman sebagai model sama ada pahit atau manis?
Kenangan paling manis adalah bila saya berjaya buat photo shoot pertama, sebab saya keluar dari zon selesa yang sebelum ini saya seorang yang pemalu untuk berdepan dengan kamera. Pahit pula bila ada kritikan, tapi ia membuatkan saya lebih kuat.
Perkara paling penting untuk bertapak dalam industri ini adalah percaya diri, disiplin dan sentiasa terbuka untuk belajar dan menerima teguran.
Ciri-ciri lelaki pilihan sama ada orang Melayu atau Thai?
Saya suka lelaki yang bertanggungjawab, menghormati dan memahami diri dan jiwa saya.
Soal Melayu atau Thai tidak penting sangat, apa yang penting adalah personaliti.














