fbpx
Hati merupakan organ dalaman terbesar dalam tubuh manusia.- Gambar hiasan

K2

Ancaman kanser hati kian meningkat di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANSER hati merupakan salah satu masalah yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Berdasarkan Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021, kanser hati kini menduduki tempat kelima dalam senarai kanser paling kerap berlaku di negara ini.

Masalah ini mencatatkan peningkatan dari tempat kelapan berbanding laporan sebelumnya (2012-2016).

Statistik tersebut juga menunjukkan jumlah kes kanser hati dalam kalangan lelaki adalah lebih tinggi berbanding wanita.

Peningkatan kes ini perlu dititikberatkan oleh masyarakat terutama sekali bagi mereka yang mempunyai faktor risiko.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kadar kematian kanser hati melonjak secara global yang didorong oleh wabak obesiti dan diabetes.

Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk masyarakat lebih peka tentang perkara-perkara yang dapat meningkatkan risiko kanser hati dan gejala-gejalanya.

Hati merupakan organ dalaman terbesar dalam tubuh manusia yang memegang peranan sangat penting dalam memastikan kelancaran fungsi tubuh.

Salah satu tugas utama hati adalah detoksifikasi, di mana ia menapis darah daripada toksin, ubat-ubatan dan bahan kimia di dalam tubuh.

Selain itu, hati berfungsi sebagai tempat penyimpanan tenaga dengan menyimpan glukosa dalam bentuk glikogen dan memastikan tubuh mempunyai sumber tenaga mencukupi apabila diperlukan.

Peranan organ ini juga melibatkan penghasilan protein termasuk albumin dan faktor pembekuan darah yang penting dalam proses penyembuhan apabila kita mengalami kecederaan.
Di samping itu, hati turut menghasilkan hempedu iaitu sejenis cecair yang amat penting dalam membantu pencernaan lemak.

Penglibatan hati dalam metabolisme lemak, protein dan karbohidrat membantu mengawal keseimbangan hormon dalam tubuh, sekali gus menjadikannya organ yang begitu vital dalam mengekalkan kesihatan.

Tanpa hati yang berfungsi dengan baik, tubuh kita akan menghadapi pelbagai cabaran.

Kanser hati sering kali berpunca daripada kerosakan hati. Terdapat beberapa faktor risiko yang boleh meningkatkan kemungkinan seseorang menghidapinya.

Salah satu penyebab utama adalah jangkitan hepatitis yang berlaku dalam tempoh lama (kronik) terutamanya oleh virus Hepatitis B (HBV) dan Hepatitis C (HCV).

Penyakit hati berlemak iaitu pengumpulan lemak pada organ hati juga boleh meningkatkan risiko kanser. Masalah ini sering dikaitkan dengan obesiti atau diabetes.

Selain itu, individu yang mengalami sirosis iaitu parut pada hati turut berisiko.

Keadaan ini selalunya berlaku akibat daripada jangkitan, pengambilan alkohol berlebihan atau penyakit autoimun.

Pengambilan alkohol secara berlebihan memainkan peranan besar dalam merosakkan hati. Maka, orang ramai harus berwaspada dengan kadar pengambilan alkohol mereka.

PENGAMBILAN alkohol secara berlebihan boleh merosakkan hati. – Gambar hiasan

Di samping itu, makanan tercemar seperti kacang tanah dan jagung mengandungi racun dikenali sebagai aflatoksin (dihasilkan oleh kulat) boleh menjadi punca kanser hati.

Faktor genetik turut memainkan peranan bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser hati.

Penggunaan steroid anabolik dalam jangka masa panjang (contohnya oleh ahli bina badan) turut meningkatkan risiko kerana bahan tersebut dapat menyebabkan kerosakan hati.

Dengan mengetahui punca dan faktor risiko ini, kita akan lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan hati dan mencegah penyakit berbahaya ini.

Pada peringkat awal, kanser hati selalunya tidak menunjukkan gejala jelas.

Namun, beberapa tanda amaran yang mungkin muncul termasuk kelesuan dan berasa kurang tenaga, kehilangan berat badan tanpa sebab yang jelas dan hilang selera makan berpanjangan.

Selain itu, tanda amaran lain merangkumi rasa kenyang walaupun makan sedikit, sakit atau rasa tidak selesa di bahagian kanan atas perut, kulit dan mata menjadi kuning atau jaundis serta abdomen bengkak.

Jika seseorang mengalami gejala-gejala tersebut, ia sangat penting untuk segera mendapatkan pemeriksaan perubatan.

Kanser hati boleh didiagnosis melalui beberapa kaedah.

Pertama, ujian darah dilakukan untuk mencari tanda-tanda seperti paras enzim hati tinggi atau penanda tumor, salah satunya alfa-fetoprotein (AFP) yang boleh menunjukkan kehadiran kanser.

Selain itu, imbasan seperti ultrabunyi, CT scan atau pengimejan resonans magnetik (MRI) juga digunakan untuk melihat dengan jelas sebarang tumor yang mungkin ada pada hati.

Jika hasil imbasan mencurigakan, biopsi hati akan dilakukan, di mana sedikit sampel tisu diambil untuk disahkan di makmal.

Selain itu, elastografi membantu untuk menilai tahap kerosakan atau parut pada hati (sirosis).

Semua kaedah ini bekerjasama untuk memberikan gambaran lengkap tentang keadaan hati dan membantu doktor membuat diagnosis.

Rawatan kanser hati bergantung kepada peringkat dan keadaan kesihatan pesakit secara keseluruhannya.

Beberapa pilihan rawatan tersedia termasuk pembedahan untuk membuang bahagian hati yang terjejas oleh tumor atau pemindahan hati jika telah rosak teruk.

Bagi tumor yang lebih kecil, rawatan seperti ablasi digunakan, di mana haba atau alkohol diguna pakai untuk memusnahkan sel-sel kanser.

Selain itu, embolisasi juga boleh dilakukan iaitu dengan menyekat bekalan darah ke tumor untuk menghalangnya daripada berkembang.

Walaupun kemoterapi jarang digunakan dalam kes kanser hati, ia masih boleh memberi manfaat dalam beberapa keadaan, terutamanya apabila kanser telah merebak.

Prognosis atau peluang pemulihan pesakit bergantung kepada peringkat kanser ketika ia dikesan.

Jika kanser hati dikesan pada peringkat awal, peluang untuk sembuh adalah tinggi.

Namun, bagi kanser yang telah mencapai peringkat lanjutan, rawatan lebih fokus kepada mengawal penyakit dan mengurangkan simptom.

Pencegahan kanser hati bermula dengan langkah-langkah mudah yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, orang ramai perlu mengelakkan jangkitan Hepatitis C dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti memastikan penggunaan jarum steril untuk menghindari penularan virus.

Mengurangkan pengambilan alkohol juga sangat penting. Ini kerana, alkohol yang berlebihan boleh merosakkan hati dan meningkatkan risiko kanser.

Berat badan memainkan peranan dalam usaha pencegahan ini. Ia perlu dikawal untuk mengelakkan obesiti yang dapat menjurus kepada penyakit hati berlemak.

Di samping itu, amalan pemakanan bersih seperti mengelakkan makanan tercemar dengan aflatoksin dapat membantu menjaga kesihatan hati.

Akhir sekali, bagi individu yang berisiko tinggi seperti mereka menghidap hepatitis atau sirosis, pemeriksaan kesihatan secara berkala sangat disarankan untuk mengesan sebarang masalah pada peringkat awal.

Dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan ini, kita boleh menjaga hati dengan lebih baik.

Kesimpulannya, kanser hati merupakan ancaman kesihatan yang semakin meningkat di Malaysia, terutamanya dalam kalangan individu yang mempunyai faktor risiko.

Kita boleh menjaga kesihatan hati melalui gaya hidup sihat, pemakanan bersih dan pemeriksaan kesihatan secara berkala, sekali gus mengurangkan risiko menghidap kanser hati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN