Pada usia 22 tahun, Nur Syiqah Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Syiqah, telah mencipta nama sebagai usahawan muda luar biasa.
Memegang dua jawatan utama, iaitu sebagai Pengarah di ATCC Bakery & Trading dan Pengurus Pembangunan Jualan di ATCC Holdings Sdn. Bhd. Syiqah membuktikan usia muda bukan penghalang mencapai kejayaan besar.
Perjalanan menuju kejayaan tidak mudah, Syiqah sering berdepan cabaran, termasuk ketika berurusan dengan rakan niaga dari luar negara dalam industri makanan dan minuman.
Namun baginya, setiap rintangan adalah peluang untuk belajar dan terus maju.
Kepada Kosmo! Ahad, Syiqah berkongsi perjalanan hidupnya sehingga berjaya bergelar usahawan.
KOSMO! AHAD: Boleh ceritakan tentang diri anda?
SYIQAH: Saya menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Pengajian Perniagaan di Kolej Profesional Majlis Amanah Rakyat (Mara) Ayer Molek, Melaka. Sejak di bangku sekolah, saya memang minat dunia perniagaan dan sentiasa berusaha memajukan diri dalam bidang ini.
Siapa sumber inspirasi anda?
Saya terinspirasi untuk memulakan bisnes selepas melihat kesusahan ibu bapa sewaktu kecil. Ayah bekerja di kilang dan malamnya mengusahakan kedai burger, manakala ibu bekerja di farmasi dan berniaga kecil-kecilan. Melihat pengorbanan itu, saya tekad untuk memberi kesenangan kepada mereka sebagai balasan.
Bagaimana cara berurusan dengan prospek luar negara?
Setiap negara mempunyai cabaran tersendiri. Antaranya perbezaan budaya, gaya komunikasi, undang-undang dalam industri makanan dan minuman serta keperluan pasaran berbeza.
Sebagai contoh di China, durian sangat digemari, namun proses untuk mengeksport produk ke sana memerlukan persiapan rapi. Di negara Barat seperti Australia pula, terdapat syarat ketat yang melarang penggunaan susu dari negara Asia. Jadi kita perlu cari jalan untuk tembusi pasaran di negara seperti ini.
Apakah cabaran terbesar pernah dihadapi?
Cabaran terbesar ketika Covid-19, ibu bapa saya terpaksa menutup lapan daripada sembilan cawangan di pusat beli-belah, hanya tinggal satu cawangan berdekatan rumah. Akhirnya, saya berjaya mengatasi cabaran ini dan tahun ini, saya membuka dua cawangan baharu.
Apakah pencapaian terbesar Syiqah?
Membeli kereta dan rumah pada usia muda. Saya menganggap ini sebagai rezeki daripada Tuhan, terutama sekali hasil pengorbanan keluarga saya yang susah.
Cara Syiqah healing?
Mendekatkan diri kepada Tuhan, perkara yang sentiasa ditekankan oleh ibu sejak kecil. Selain itu, saya gemar mendaki, bersantai di sungai atau pantai dan menikmati keindahan alam semula jadi. Aktiviti-aktiviti ini membantu saya merehatkan minda dan menghargai ciptaan Tuhan.
Lelaki idaman anda?
Lelaki pilihan saya adalah seseorang yang berfikiran terbuka, penyayang dan matang serta menyokong saya dalam apa jua keadaan.
Paling utama, sentiasa menjaga hubungan dengan Tuhan, termasuk sentiasa solat subuh berjemaah di masjid.
Perancangan masa depan anda?
Lima tahun lagi, saya ingin syarikat saya, ATCC Bakery & Trading (atcupcakes dan atcrepe), menjadi jenama yang dikenali di Malaysia, dengan lebih banyak outlet dan stabil dari segi kewangan.
Nasihat ibu bapa yang tidak pernah dilupakan?
Nasihat ayah yang selalu saya ingat ialah ‘syarikat tidak akan maju tanpa staf yang setia dan berdedikasi’. Ayah juga selalu mengingatkan saya, ‘jika ada masalah, cari sejadah dulu, menghadap Allah, dan pastikan dalam diri tiada sampah.














