Meskipun hanya berjarak kira-kira 60 kilometer, namun Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) merupakan laluan penting yang menjadi pintu masuk utama ke Pantai Timur dari Lembah Klang.
Namun sesiapa sahaja yang melalui lebuh raya yang siap dibina pada 1979 itu pastinya maklum mengenai laluan berbukit di Bukit Tinggi yang sering berlaku kemalangan sehingga dilabel ‘lubuk maut’.
Dengan keadaan naik dan turun bukit serta berselekoh, laluan berkenaan dilihat amat berbahaya kerana boleh menyebabkan kemalangan jika berlaku kecuaian pemanduan atau masalah teknikal seperti kegagalan brek.
Pada 6 Januari lalu, bomba terpaksa menggunakan anjing pengesan bagi mencari dua lelaki yang tertimbus ke dalam tanah selepas lori dinaiki terjunam ke dalam gaung di Kilometer 42.1 KLK.
Usaha pencarian mangsa mengambil masa hingga lebih 12 jam kerana mangsa telah tertimbus. Mangsa kedua ditemukan pada pukul 9 pagi selepas kejadian direkodkan pada pukul 8 malam.
Pada 30 September 2024 pula, tiga orang maut dalam kejadian kemalangan melibatkan tujuh kenderaan yang menyaksikan muatan tiang konkrit sebuah treler terjatuh menyebabkan kemalangan di kedua-dua arah.
Hakikatnya kemalangan di kawasan itu bagaikan rutin apabila hampir setiap bulan ada sahaja nahas berlaku.
Bagi penduduk di kawasan berkenaan, mereka sudah maklum mengenai kekerapan kemalangan di situ, menyebabkan mereka bukan sahaja sentiasa berhati-hati, tetapi resah setiap kali melalui kawasan itu.
Bagi orang luar mungkin tidak menyedari kawasan berbukit dan berselekoh itu amat berbahaya.
Namun apa yang membimbangkan adalah kemalangan di situ boleh terjadi meskipun dalam keadaan berhati-hati kerana akibat kecuaian dan kesalahan orang lain seperti kejadian batang konkrit yang terjatuh dari sebuah treler menyebabkan tiga kematian.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, sepatutnya satu audit keselamatan dilakukan oleh pihak berkaitan di laluan yang sering berlaku kemalangan.
Katanya, ia bagi membolehkan tindakan segera sama ada pembaikan laluan atau penguatkuasan dilakukan bagi mengurangkan risiko kemalangan daripada terus berlaku dari semasa ke semasa.
Kejadian kemalangan terus berlaku dan laluan berkenaan terus bebas dibiarkan sebagai lokasi pencabut nyawa sejak sekian lama sehingga ke hari ini yang telah menorbankan banyak nyawa.
Namun sehingga kini masih dilihat tiada apa-apa dilakukan termasuk dalam membesarkan jalan atau mengubah laluan berselekoh dan berbukit di kawasan itu dan laluan maut berkenaan terus kekal.
Isu keselamatan pengguna jalan raya tidak harus terus dibiarkan kerana boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, jadi perkara ini harus diberi keutamaan terlebih dahulu.
Jika ada perancangan untuk membesarkan dan membaiki laluan KLK, janganlah terlalu lama merancang dan sekadar sedap mendengar.
Utamakanlah dahulu laluan maut, lakukan segera projek penambahbaikan, barulah bercerita mengenai pembaikan keseluruhan KLK atau mana-mana jalan raya di negara ini.














