fbpx
Harga biji kopi semakin naik pada masa ini.

Harga biji kopi selalu naik tapi kali ini ‘meroket’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENIKMATI secawan kopi boleh dianggap sebagai trend apabila penggemar tegar wajib singgah di mana-mana kedai kopi setiap hari.

Tidak keterlaluan jika kopi juga sarapan paling kerap dinikmati sebahagian besar masyarakat tempatan.

Bagaimanapun, awal minggu ini, negara ‘digegarkan’ dengan berita lonjakan harga biji kopi akibat faktor cuaca di negara pengeluar utama seperti di Brazil dan Vietnam.

Penggemar kopi tidak senang duduk dengan berita tersebut kerana terpaksa menelan dua kali ganda ‘kepahitan’.

Lain pula perkongsian Pengarah Urusan FCR Asia Sdn. Bhd., Muhammad Najmuddin Mohd. Nan yang menyedari kenaikan harga kopi selepas Covid-19 sebelum ini.

Menurut Najmuddin atau mesra disapa Naj, pemilik kafe sememangnya terkesan dengan khabar tersebut sehingga terpaksa menaikkan sedikit kadar harga jualan.

“Kenaikan harga biji kopi sebenarnya memang berlaku setiap beberapa tahun dan memang sudah melonjak sejak pasca Covid-19.

“Tahun ini kadarnya naik lagi banyak disebabkan faktor luaran seperti pemanasan global serta peperangan Russia-Ukraine serta konflik di Palestin.

“Ini akan menyebabkan berlaku satu pelarasan. Peniaga yang melakukan kiraan kos dengan tepat akan mampu terus bertahan berbanding pemilik bisnes yang sekadar suka buang harga tanpa mengambil kira kos bagi menampung kenaikan harga biji kopi mentah.

“Rata-rata kedai kopi akan menaikkan sedikit harga jualan bagi menampung kesan kenaikan harga daripada pembekal biji kopi,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Bagaimanapun, Naj, 34, yakin penjualan kopi tidak akan merudum memandangkan pembeli dapat membuat pilihan tepat jenis kopi yang mahu dihirup.

“Penjualan pada saya tidak akan memberi kesan sebab dalam industri kopi, produk terbaharu kepada dua iaitu biji kopi gred istimewa dan komoditi.

“Gred istimewa memang mahal dan ada nilai tersendiri. Satu cawan boleh mencecah RM20 sehingga RM50.

“Pada pendapat saya, harga jualan untuk komoditi yang akan terkesan kerana meningkat lebih tinggi. Jadi, kalau dahulu mungkin boleh dapat secawan kafe latte RM8 tetapi sekarang RM13.

“Kafe yang fokus menjual biji kopi gred istimewa mungkin tidak terkesan sebab sejak mula dijual pada harga premium berbanding kafe yang jual menggunakan biji kopi komoditi,”
ujarnya.

Ditanya sekiranya peniaga kopi tidak perlu bimbang, Naj bersetuju kerana percaya pemilik kafe yang sudah lama menapak dalam industri perniagaan pasti sudah bersedia dengan lebih awal.

“Benar, kenaikan memang tidak boleh dielakkan dan ada juga pembekal biji kopi seperti kami FCR tak akan menaikkan harga jualan sebab kami sudah jangkakan kenaikan ini.

“Kita dah tetapkan harga jualan biji kopi pada kadar sesuai yang masih lagi dalam margin keuntungan baik.

“Pada luarannya, memang nampak merisaukan sebab banyak berita melaporkan tentang perkara ini, tetapi peniaga yang sudah lama berniaga selalunya mereka ada backup plan atau melakukan penyelarasan harga lebih awal,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN