fbpx
Asmadi menunjukkan lalat yang melekat pada kertas perangkap ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Sotong, Pasir Puteh semalam.

Dua kampung ‘diserang’ ribuan lalat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Lebih 300 penduduk di Kampung Pasir Sotong dan Kampung Raja Dagang di sini hidup dalam keadaan tidak keruan apabila kediaman mereka di­serang ribuan lalat selepas banjir sejak seminggu lalu.

Mereka mendakwa, lalat itu menghurung dan membiak di kawasan najis ayam di kawasan ladang ternakan berdekatan kampung.

Asmadi Mohamad, 60, berkata, pelbagai usaha dilakukan termasuk menggunakan pelekat lalat, namun sia-sia.

Katanya, rumah mereka tetap dimasuki serangga itu walaupun pintu dan tingkap telah ditutup rapat sepanjang masa.

“Keadaan semakin teruk sejak seminggu lalu apabila kawasan tempat najis di ladang ternakan ayam menjadi tempat lalat membiak. Bau najis ayam itu semakin kuat tersebar ke kedua-dua kampung selepas banjir baru-baru ini.

“Lalat akhirnya terbang dan menyerang rumah penduduk yang terletak tidak jauh dari kawasan ladang ternakan tersebut,” katanya.

Asmadi memberitahu, kea­daan itu agak meloyakan tekak apabila lalat turut hinggap pada hidangan makanan di dalam rumah.

Rabiah Ismail, 40-an, pula berkata, sesetengah penjual makanan terpaksa menyalakan lilin untuk menghalau lalat, namun usaha itu juga gagal.

Katanya, selain lalat, penduduk juga berdepan dengan pembiakan nyamuk di kawasan yang masih digenangi takungan air banjir.

“Kami amat memerlukan bantuan pihak berkaitan untuk membasmi pembiakan ­nyamuk dan lalat. Mungkin kaedah pengabusan (fogging) sesuai untuk membanteras pembiakan serangga tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Raja Dagang, Yusof Awang Mat berkata, ini merupakan kejadian pertama dalam sejarah apabila lalat menyerang kampung tersebut dalam jumlah yang banyak.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk rimas dan sukar untuk menghalau serangga tersebut.

“Ada penduduk terpaksa memasang hampir 50 pelekat perangkap lalat setiap hari di rumah mereka. Kaedah itu tetap tidak mampu mengurangkan jumlah lalat.

“Saya juga berharap kaedah pengabusan dijalankan di kedua-dua kampung secepat mungkin. Kami rimas dan jijik dengan situasi itu kerana sebelum ini tiada serangan lalat yang banyak di sini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN