fbpx
NURIFFAH dan suaminya, Nik Azreel bahagia bersama cahaya mata sulung, Noah selepas 10 kali keguguran.

‘9 tahun menunggu, 10 kali keguguran baru kami dapat anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kesabaran sepasang suami isteri menanti cahaya mata sulung selepas 10 kali keguguran berbaloi apabila mendapat anak lelaki, Nik Noah Anaqi Nik Azreel setelah hampir sembilan tahun mencuba.

Nuriffah Ezzah Jamaludin, 36, berkata, sokongan suaminya, Nik Azreel, 36, sepanjang perkahwinan mereka menguatkan semangatnya untuk terus bersabar dan berusaha sehingga Noah dilahirkan dua tahun lalu.

Menurutnya, dia dan suami yang juga penjawat awam berkahwin pada tahun 2012 dan mengalami keguguran pertama setahun selepas memulakan perjalanan sebagai pasangan suami isteri.

“Pada awalnya, saya ingat kegu­guran itu biasa. Tetapi selepas kali ketiga pada 2015, saya mula rasa ada sesuatu yang tidak kena.

“Kami berdua juga menjalani pelbagai ujian kesihatan terma­suk genetik dan hormon, tetapi hasil menunjukkan kami tiada masalah cuma kandungan tidak dapat bertahan,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Kata Nuriffah, tidak hanya bergantung pada perubatan moden, mereka suami isteri turut mencuba pelbagai kaedah rawatan tradisional dan dirinya pernah keguguran sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019.

“Setiap kali hamil, saya penuh harapan. Tetapi setiap kali keguguran berlaku, saya rasa seperti kehilangan sebahagian daripada diri saya.

“Kami hampir putus asa, tetapi suami sentiasa memberi sokongan, memujuk saya untuk terus berdoa dan berusaha,” katanya.

Nuriffah memberitahu, pe­nantian akhirnya mendapat khabar gembira apabila pada penghujung 2021 dia disahkan hamil dan sejak itu dia dipantau rapi oleh doktor selain menjalani rawatan intensif termasuk pengambilan ubat penguat rahim.

“Kehamilan kali ini penuh debaran, tetapi ketika doktor mengesahkan denyutan jantung bayi pada minggu ketujuh, saya mula yakin ini adalah rezeki yang telah lama kami nantikan,” ujarnya.

Katanya, pada pertengahan 2022, selepas sembilan bulan penuh cabaran, dia selamat melahirkan Noah melalui pembedahan seperti yang disarankan oleh doktor.

“Kehadiran Noah adalah anugerah terbesar dalam hidup kami. Walaupun perjalanan ini sukar, saya percaya Allah tidak akan menguji di luar kemam­puan hamba-Nya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN