fbpx
Seorang pembeli melihat barangan yang dijual di Downtown Anak Muda Bentong di Bentong semalam.

Downtown Anak Muda Bentong lubuk rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Downtown Anak Muda Bentong yang diadakan seminggu sekali di Benus dekat sini menjadi fenomena baharu daerah ini apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dari dalam dan luar termasuk dari Kuala Lumpur.

Diadakan dari pukul 7 hingga 11 malam setiap Sabtu di tapak pasar tani Benus dengan lebih 100 buah gerai yang menjual pelbagai produk, ia menjadi lubuk rezeki kepada peniaga tempatan dan tarikan baharu di daerah ini.

Turut menjadi tarikan gerai Ajak pemain gitar bass kumpulan Melissa yang terkenal dengan lagu Cinta Untuk Nabila.

Yang menariknya, pasar malam bermula pada ­Oktober lalu ini mempunyai tema berlainan setiap ­minggu untuk menarik orang ramai untuk datang selain menyediakan meja di tengah-tengah gerai untuk bersantai selain menyajikan persembahan ‘band’, karaoke dan cabutan bertuah.

Penganjur Downtown Anak Muda Bentong, Nurul Husna Salleh, 36, berkata, ia bukan seperti pasar malam biasa kerana lebih ceria dengan tema yang melibatkan semua peniaga malah ada juga pengunjung yang turut memakai pakaian mengikut tema ditetapkan.

“Antara konsep yang telah diadakan ialah ‘Back to School’, P. Ramlee, Rock, Palestin, Retro, Santai dan pelbagai lagi tema akan dibuat setiap minggu.

“Alhamdulillah, dengan konsep baharu ini sambutan amat menggalakkan dan peniaga serta orang ramai tidak sabar menunggu setiap malam Sabtu,” katanya di sini semalam.

Katanya, Downtown Anak Muda Bentong berkenaan menjual pelbagai barangan terma­suk makanan, cenderamata dan barangan tular yang dapat menarik minat pengunjung.

Jelasnya, kehadiran ramai pengunjung juga menyaksikan peniaga mampu tersenyum apabila mampu menjana pendapatan yang baik untuk me­nyara keluarga.

Dalam pada itu seorang peniaga, Habsah Zubir, 36, berkata, meskipun hanya semalam berniaga dia bersyukur dapat menjana jualan melebihi seminggu jualan di beberapa lokasi di tempat lain.

Dia yang menggayakan ­Dayang Senandung sempena tema P. Ramlee berkata, selain membeli makanan dan minuman jualannya orang ramai turut mahu bergambar dengan­nya yang sekaligus menceriakan lagi suasana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN