fbpx
ORANG ramai digalakkan untuk menyematkan dalam diri bagi meneruskan apa yang sudah dirancang dan berusaha mendapatkannya. - GAMBAR HIASAN

Azam baharu jangan dibiar ‘mereput’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI ini merupakan hari ketiga kita melangkah ke tahun baharu 2025 dengan keazaman dan iltizam serta harapan dan semangat untuk mencipta perubahan dan peluang lebih baik.

Ramai dalam kalangan kita menggunakan peluang ini untuk membuat azam baharu yang saban tahun disematkan dalam diri sebagai motivasi untuk menjadi manusia yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Jika dilakukan dengan niat dan usaha yang betul, ia mampu memberikan perubahan besar dalam hidup seseorang.

Namun hakikatnya ramai yang ‘kecundang’ lebih awal dan azam baharu terus berkubur begitu sahaja umpama hangat-hangat tahi ayam. Jangan kita membuat azam sekiranya tidak pasti apa yang dimahukan.

Apa yang penting setiap yang kita lakukan mestilah konsisten sepanjang masa dan tidak hanya hangat untuk beberapa bulan sahaja dan kejayaan yang dikecapi pula bersifat sementara tanpa ada usaha meneruskannya.

Mengambil contoh seorang peniaga nasi lemak tepi jalan yang penulis kenali pada tahun lalu yang sebelum itu berazam untuk berjaya dalam bisnes yang diceburinya.

Alhamdulillah, untuk beberapa bulan perniagaannya laris dan mampu menjual nasi lemak sekitar 300 bungkus sehari dan setiap pagi gerainya dipenuhi dengan pelanggan.

Namun sedihnya, perniagaan itu tidak bertahan lama dan akhirnya ‘lingkup’. Entah apa silapnya, mungkin selepas bisnesnya mendapat sambutan, dia tidak menjaga kualiti produk sehingga kehilangan pelanggan sedikit demi sedikit.

Itu yang kita tidak mahu, azam yang dibuat sudah berada di jalan sepatutnya, namun hanya disebabkan kealpaan dan kesilapan sendiri, ia tidak mampu bertahan lama.

Sesungguhnya pengalaman lalu menjadi pengajaran berguna untuk kita meneruskan azam yang dibuat dalam perjuangan hidup dan perlu diperbaiki dari semasa ke semasa bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.

Persoalannya bagaimana kini mahu memastikan azam yang dirancang bukan sekadar impian semata-mata?

Apa yang perlu dibuat adalah kita menggariskan matlamat yang jelas, mengubah cara berfikir tentang sesuatu, selain membuka peluang bagi kita mencuba sesuatu yang baharu

Penting juga menjadikan kesilapan masa lalu sebagai satu pelajaran berguna dalam hidup untuk menjadikan azam tahun baharu sebagai batu loncatan untuk menggapai kejayaan yang diharapkan.

Setiap orang perlu menyematkan dalam diri untuk meneruskan apa yang sudah dirancang dan berusaha mendapatkannya.

Ini kerana azam yang dibuat tanpa tindakan betul hanya akan menjadi sebuah angan-angan indah yang sia-sia. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN