fbpx
Jika turun ke sini, sila perhatikan kawanan anak-anak temensis halus yang dijaga induk.

K2

Pertembungan merak kayangan Tasik Chinchin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI satu segi, terbit rasa marah kerana hairan bagaimana ia boleh sampai ke tasik ini.

Namun dari satu segi yang lain, ia merupakan sejenis ikan sukan (game fish) yang ramai pemancing memburunya, bukan sahaja kaki pancing tempatan, malah dari luar negara juga.

Ini semua kerana temensis sudi membedal gewang dan saiznya juga ‘kasar’.

Ikan yang berasal dari Amerika Selatan ini dianggap ‘invansif’ apabila berupaya memusnah dan mampu membiak dengan cepat. Malah, merebak sehingga menjejaskan keseimbangan ekosistem dan menjejaskan populasi organisma asal di habitat baharunya sehingga dikatakan menjadi penyebab kepupusan spesies ikan tempatan.

Di Melaka, spesies peacock bass cichla temensis ini telah banyak menakluki kawasan tasik, empangan dan kolam tadahan air di ladang-ladang kelapa sawit termasuklah yang terbaharu di Tasik Chinchin, Melaka.

Kebanyakan kaki pancing di sini berpendapat bahawa teknik mengilat (casting) menggunakan gewang sesuai digunakan ketika memburu temensis.

Temensis di tasik ini cukup gemar menyambar gewang permukaan seperti popper dan pencil. Manakala, gewang soft plastic bersaiz 50-70 milimeter (mm) seakan anak ikan digayakan dengan teknik karauan laju dan ada hentian sekali sekala, sering kali mengiurkan nafsu amarah temensis bersaiz kasar.

Spesimen bersaiz ‘juvenil’ pula lebih mudah diperdayakan dengan gewang mikro, apollo/sabiki, spin fly dan pancing layang.

Frenzy ialah istilah yang digunakan oleh kaki mengilat gewang, merujuk kepada keadaan ikan-ikan pemangsa sedang galak menyerang hendap kawanan anak ikan secara berkumpulan.

Kocakan air seakan-akan menggelegak (boiling) akan jelas kelihatan di permukaan tasik, dan ada kalanya ikan-ikan pemangsa ini menampakkan sirip dorsalnya berserta bunyi ledakan ketika ia galak menghambur anak-anak ikan.

Waktu feeding frenzy ini amat penting bagi kaki mengilat kerana itulah masanya yang paling ideal untuk mempersembahkan gewang terus ke sasaran. Pastilah gewang topwater seperti popper dan pencil paling menjadi.

Namun ada kalanya, pemancing akan terpedaya dengan kawanan ikan tembakang yang menunjukkan aktiviti frenzy seakan temensis. Itulah adat memancing, ada kalanya kita menang dan ada masanya kita akan terpedaya.

Pada awal pagi berkabus, saya bersama dua lagi rakan Rizal dan Pali telah bersedia di jeti bersama bot fiber yang disewa. Ia hanya ada satu pendayung, mujur kami membawa enjin elektrik (motorguide thruster).

Ada ketika game lemah kerana induk temensis kurang makan, mungkin sibuk menjaga anak-anaknya.

Kedengaran ledakan di sana sini menandakan ikan-ikan pemangsa sedang aktif memburu anak-anak ikan. Ada masanya, anak-anak ikan dihambat hingga ke tepi tebing dan dengan pantas serta lahapnya kumpulan temensis ini meligannya.

Apabila hilangnya kabus pagi dan sinaran mentari mula ‘menyengat’, kelihatan tompok hitam terbentuk di permukaan air menunjukkan anak-anak temensis yang halus sedang menghampiri tebing tasik.

Inilah saat yang dinantikan untuk menduga induk temensis yang mengawasi anak-anaknya daripada diserang ikan-ikan pemangsa yang lain.

Saya telah bersiap sedia dengan joran Abu Garcia Boron 8-17 paun (lb) dipadankan dengan kekili Shimano Curado DC 100HG. Menggunakan gewang topwater, Megabass Dog-X, ia dilontar melepasi jarak sekaki dari anak-anak halus itu timbul.

Karauan dilakukan dengan hujung joran direndahkan agar gewang bergerak secara zig-zag apabila dimainkan secara
walk-the-dog. Ia mengeluarkan bunyi ‘plak-plak-plak’ kerana terdapat bebola besi di dalam badan plastiknya.

Gewang tersebut diekori sepasang temensis dari dasar dan terus disambar, malangnya rabut.

Lantas, saya memperlahankan ritma karauan, ternyata taktik itu berjaya apabila ikan itu berpatah balik dan menyambar buat kali kedua dan terus lekat.

Ikan melakukan beberapa kali lompatan akrobatik sebagai cubaan untuk meloloskan diri dari mata tiga gewang. Namun, ia berjaya disauk di tepi bot selepas terdampar kehabisan tenaga.

Setelah itu, posisi bot diubah selari dengan lokasi timbulnya kembali anak-anak halus tadi, kini giliran Rizal pula menduga induk dengan joran berkekuatan 10-20lb dipadankan dengan kekili

Shimano Metanium MGL dan berpelurukan gewang Yo-Zuri Crytal Minnow saiz 70mm.

Percubaan pertama dan kedua dilakukan dengan teknik karauan terus serta henti. Tiba-tiba, hujung jorannya membenam akibat rentapan rakus si ikan. Ikan membenam padu, namun akhirnya ia menyerah kalah.

Di tasik ini, saya dan rakan-rakan pernah mendaratkan pelbagai spesies ikan selain temensis, seperti terbul, baung, sebarau, haruan dan toman.

Di tasik ini juga ada pengusaha sangkar ikan untuk tujuan komersial sama ada dijual ke restoran atau ke kolam memancing. Diberitakan sangkar-sangkar yang berisi ikan asing seperti tilapia, patin Siam dan pacu pernah pecah disebabkan paras air tasik melimpah akibat banjir.

Sebab itulah ada juga kehadiran spesies ikan asing yang lain, selain temensis.

Walau bagaimanapun, ada juga yang mengatakan ikan-ikan asing ini memberi kesan positif dari segi menjana ekonomi dalam sektor sukan memancing tanah air terutamanya spesies temensis.

Namun, cuba anda bayangkan impaknya jika spesies ikan pendatang ini terlepas keluar ke sistem sungai berhampiran. Tepuk dada tanya selera.

Harapan saya, apa yang sudah sedia ada di tasik ini biarkan sahaja ia bermastautin di sana. Anda hanya perlu datang dan menikmati cabaran memujuk dan meman­cingnya, tidaklah perlu menyebarkannya ke lokasi-lokasi lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN