RANTAU PANJANG – Kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang di sini boleh diibaratkan seperti ‘litar lumba apabila Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) perlu berdepan kegiatan penyeludupan yang berleluasa selain tugasan rasmi di pintu masuk sempadan.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, beliau menyedari operasi di pintu sempadan berkenaan bakal menguji stamina pasukan AKPS dalam penugasan seharian mereka.
“Operasi di sini (Rantau Panjang) menguji stamina pasukan kita. Pintu masuk sempadan ini bukan sahaja sibuk dengan urusan rasmi, tetapi juga menjadi ‘litar lumba’ untuk mereka yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan.
“Justeru, semua pegawai perlu bersedia dan jangan biarkan mereka (penyeludup) lebih laju daripada kita,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Program Rintis AKPS yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hazani memberitahu, AKPS akan bertindak sebagai agensi kerajaan barisan hadapan di pintu-pintu masuk negara termasuk di pelabuhan berdasarkan Akta 806 Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 yang telah diwartakan pada 17 Oktober tahun lalu.
Menurutnya, pemilihan Kompleks ICQS Rantau Panjang sebagai lokasi rintis sekali gus akan menjadi pembuktian konsep agensi tunggal kawalan sempadan kerana ia merupakan antara pintu masuk strategik antara Malaysia dan Thailand. – KOSMO! ONLINE