fbpx
KEHIDUPAN sedih yang ditanggung ibu bapa apabila terpaksa menghabiskan hayat mereka di pusat penjagaan orang tua akibat ‘dibuang’ anak sendiri.

Hayat berakhir tanpa zuriat di sisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Perasaan sedih terpaksa ditanggung ibu bapa yang ditinggalkan di pusat jagaan orang-orang tua apabila ada segelintir anak-anak yang tergamak membiarkan mereka mengakhiri sisa-sisa hidup tanpa sebarang perhatian sewajarnya.

Lebih menyayat hati apabila segala urusan kematian dan pengebumian bagaikan tidak dipeduli oleh anak-anak, sehingga­ pihak pengurusan rumah penjagaan terpaksa mengambil alih amanah terakhir itu.

Mendedahkan perkara itu, Pengasas Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Johor, Norijah Bidin berkata, anak-anak atau ahli ke­luarga memberikan seribu alasan semata-mata tidak mahu menguruskan jenazah ibu atau bapa mereka.

“Kebanyakan ahli keluarga terutamanya anak-anak, selepas mereka hantar orang tua ke pusat kebajikan atau pusat jagaan orang tua, mereka akan lepas tangan, ada yang langsung tak datang jenguk, malah bayaran untuk yuran bulanan pun mereka­ buat menerusi dalam talian.

“Apabila berlaku kematian, pihak kita cuba hubungi mereka, namun pelbagai alasan diberikan seperti tinggal jauh dan adik-­beradik tidak dapat datang.

“Ada juga kes yang sanggup membayar wang kepada pihak pe­ngurusan untuk menguruskan pengebumian jenazah orang tua mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

RAMAI ibu bapa yang dihantar ke pusat penjagaan orang-orang tua terpaksa menghembuskan nafas terakhir tanpa kehadiran anak-anak dan ahli keluarga.

Bagaimanapun, ujar Norijah, se­­le­pas semua urusan pengebumian selesai, ada pula anak-anak yang datang semata-mata untuk me­minta salinan kad pengenalan dan sijil kematian orang tua mereka­ semata-mata untuk membuat proses tuntutan harta.

Jelasnya, situasi itu bukanlah cerita semata-mata tetapi memang pernah berlaku.

Katanya, pusat jagaan orang tua yang ditubuhkan pada tahun 2007 itu telah menguruskan 513 jenazah warga emas yang me­ning­gal dunia ketika dalam ja­gaan.

Tambah beliau, hal sama turut berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila ramai ibu bapa tidak mendapat khabar berita daripada anak masing-masing.

“Semasa PKP pun ada di­ antara mereka tidak langsung telefon bertanyakan khabar dan sebagainya, untuk lawatan kita memang tidak galakkan ahli keluarga datang untuk elak ada kes Covid-19.

“Sedih bila mengenangkan nasib ibu bapa ini, mereka di­tinggalkan anak-anak sedangkan tanggungjawab untuk mengurus orang tua adalah amanah yang wajib dilakukan oleh mereka,” katanya.

Norijah berkata, dia dan suami­nya, Ir. Md. Sharipin Shalan menubuhkan Persatuan Kebajikan Nur Ehsan pada April 2007 dan ketika ini, terdapat seramai 145 individu sedang menumpang kasih di rumah kebajikan ­tersebut.

Mereka terdiri daripada 90 lelaki dan 55 wanita berusia antara 20 hingga 90 tahun termasuk individu yang mempunyai masalah mental di dua rumah kebajikan di Kempas, Johor Bahru dan Ledang, Tangkak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN