IPOH – Tanah kubur atau abu mayat merupakan antara ‘senjata’ yang digunakan dalam amalan ilmu hitam oleh pelaku untuk memenuhi hajat menyihir orang lain.
Menurut seorang pengamal perubatan Islam, Ismail Nordin, 36, bahan itu menjadi antara keperluan oleh pelaku bersama tukang sihir atau bomoh untuk memusnahkan sasaran dengan upah serendah RM400 sebagai pengeras.
Katanya, dipercayai penggunaan tanah kubur atau abu mayat adalah mengambil bahan tersebut di mana-mana atau mengikut permintaan tukang sihir, dibaca serapah, sebelum dihantar atau ditaburkan kepada sasaran.
“Tindakan syirik ini dibuat di merata tempat. Kebanyakan dilakukan berpunca akibat cemburu. Tidak kira sama ada individu, gerai makan atau hotel,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, penggunaan tanah kubur, abu mayat atau beberapa alat lain seolah-olah sebagai tanda memperhambakan diri kepada amalan syirik yang sekali gus percaya kaedah itu dapat memenuhi kehendak pelaku.
Jelasnya, dengan cabaran hidup ketika ini baik dari segi tekanan perhubungan atau perniagaan, ia membuatkan manusia menjurus kepada ilmu hitam walaupun sebelum ini tidak pernah terfikir menggunakan cara tersebut.
Bahkan, katanya, dengan kemajuan teknologi pada zaman ini, sesiapa sahaja boleh mendapatkan khidmat bomoh termasuk di Facebook, Instagram, Tiktok dan pelbagai lagi.
“Selain itu, yang paling ketara sekarang ini ialah penggunaan saka. Orang dulu membela saka untuk diri sendiri, tetapi kini turut dijadikan senjata untuk menyihir orang lain,” katanya.
Katanya, antara alat lain seperti minyak pengasih, minyak dagu, minyak mayat mati dibunuh, syiling lima sen, 10 sen atau satu sen selain pemujaan melalui patung yang dilekatkan gambar mangsa.
Ismail berkata, kepercayaan masyarakat terhadap amalan sebegini masih ada dan menjadi alternatif apabila mereka buntu dan mempunyai rasa tidak puas hati yang menebal.
Dia menasihati masyarakat supaya menjauhi amalan khurafat dan mendapatkan rawatan daripada perawat mengikut syarak agama. -KOSMO! ONLINE














