Saudara Pengarang,
Minggu lalu, kira-kira 1.6 juta kakitangan awam di negara ini mendapat gaji baharu selepas menerima pelarasan di bawah pelaksanaan sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Ramai yang berkongsi perasaan gembira termasuk di media sosial memandangkan ia merupakan kenaikan yang ditunggu-tunggu selepas 11 tahun semakan dibuat.
Kenaikan ini bukan sahaja memberi kelegaan dalam menguruskan kos sara hidup yang semakin meningkat, malah merupakan penghargaan atas usaha dan khidmat bakti yang telah dicurahkan selama ini.
Di bawah SSPA, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim tersebut akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Disember lalu, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Januari 2026.
Dalam kegembiraan itu, penjawat awam diingatkan agar tidak boros dalam berbelanja dan bijak menguruskan kewangan supaya tidak dibelenggu dengan kesempitan kewangan di kemudian hari, seterusnya menambah hutang baharu sebegai penyelesaian.
Sebenarnya tida keperluan bagi anggota perkhidmatan awam untuk membuat pinjaman baharu ataupun bertindah (overlap) atas pinjaman lama kerana dibimbangi produktiviti kerja mereka terjejas dek kerana terbeban dengan hutang melampau.
Biarpun sebahagian mereka menyatakan itu hak mereka untuk berbuat demikian, tetapi perlu diingat pinjaman peribadi ketimbang pinjaman perumahan sudah jauh tersasar daripada matlamat asal. Ia kini dilihat lebih kepada kehendak berbanding keperluan.
Dalam hal ini, jangan terjebak dan terpengaruh dengan nafsu untuk menambah hutang baharu, terus kekal dalam dalam perbelanjaan biasa walaupun gaji naik.
Selain itu, mereka hendaklah fokus kepada masa hadapan keluarga dalam bentuk penyediaan kemudahan terutama perumahan yang belum mereka miliki.
Perlu diingatkan, terdapat kira-kira 3,000 penjawat awam di seluruh negara diisytiharkan muflis setelah dibebani hutang melampau ketika ini.
Jangan jadikan diri sebahagian statistik ini.
Insan prihatin
Petaling Jaya, Selangor














