SEGAMAT – Polis memberi amaran kepada kaki pancing untuk tidak merentas mana-mana sempadan daerah sungai bagi sebarang aktiviti menangkap ikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 13 Januari sehingga 26 Januari depan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, selain mengawal sempadan daerah di jalan raya terus dipergiatkan kini, dalam pada masa yang sama anggotanya turut memantau sekitar sempadan sungai serta landasan kereta api di sekitar Segamat.
“Pihak polis memberi amaran kepada orang ramai bahawa pasukan ini turut menumpukan kawalan keselamatan antara sempadan sungai dan landasan keretapi ketika PKP 2.0 ini dilaksanakan.
“Selain sentiasa memantau persempadanan daerah termasuk di semua keluar masuk laluan tikus,” katanya ketika ditemui pemeriksaan mengejut Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Sekolah di sini hari ini.
Tambah Raub, beberapa laluan tikus haram telah dikenal pasti di sepanjang Sungai Segamat, Sungai Muar di Segamat, Sungai Chodan dan Sungai Buloh Kasap yang aktif dijadikan kawasan aktiviti memancing di daerah ini.
“Aktiviti kaki pancing sebagai hobi itu biasanya dilakukan pada waktu pagi sehingga lewat malam.
“Rata-rata mereka cuba melintasi sempadan daerah dan negeri dengan alasan tidak mengetahuinya mengenai larangan merentas sempadan sungai dan beranggapan ia hanya tertumpu kepada larangan merentas sempadan jalan raya,”katanya.
Dalam mengekang aktiviti rentas daerah dan negeri ini, pihak polis turut mendapat bantuan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Perikanan Segamat, penduduk setempat, dan nelayan yang bekerjasama memberikan maklumat. – K! ONLINE