BOLOGNA – Kejayaan berterusan Ducati dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bukan sekadar memberi impak besar kepada pasukan Itali tersebut, malah turut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pesaing mereka.
Pengurus Besar Ducati, Gigi Dall’Igna mengakui pasukannya kini dianggap ‘tidak popular’ oleh pasukan-pasukan lain akibat dominasi mereka sejurus mengukuhkan kemenangan dengan empat pelumba utama mereka menduduki carta teratas tahun ini.
Ducati sebenarnya hampir menyapu bersih apabila berjaya memenangi 53 podium, melebihi pencapaian tahun lalu dengan 10 kemenangan tambahan.
Hanya Maverick Vinales dari Aprilia adalah satu-satu pelumba yang berjaya menghalang mereka menerusi kemenangan pada Grand Prix Amerika Syarikat (AS).
“Mencatat kemenangan itu penting, tetapi apabila terlalu mendominasi, kita akan menjadi tidak popular. Saya rasa pesaing-pesaing lain melihat dengan cara itu dan membuatkan saya berasa sedih. Tapi saya tetap fokus untuk terus menang,” kata Dall’Igna.
Ducati bangkit daripada kemerosotan prestasi selama 15 tahun dalam MotoGP hasil sentuhan Dall’Igna yang memperkenalkan teknologi baharu pada jentera Desmosedici menjadi kunci kejayaan sehingga sekarang.
Kejayaan iru mencapai kemuncak selepas pelumba terbaiknya, Francesco Bagnaia merangkul gelaran juara dunia pada 2022 sejurus menewaskan Fabio Quartararo dari Yamaha.
Selepas itu, Bagnaia terus mencipta kejayaan dengan mempertahankan gelaran pada 2023 sebelum Jorge Martin dari Pramac memenangi kejuaraan tahun ini.
Bagi musim 2025, Ducati bakal berdepan cabaran baharu apabila jumlah jentera mereka di grid akan berkurangan daripada lapan kepada enam susulan langkah mengejut pasukan satelitnya, Pramac bertindak menyertai Yamaha.
Biarpun terpaksa melepaskan pelumba berbakat seperti Enea Bastianini, Marco Bezzecchi dan Martin, namun Ducati tetap memiliki kekuatan tahun depan apabila mengesahkan kemasukan bekas juara dunia, Marc Marquez untuk bergandingan dengan Bagnaia. – AGENSI














