PETALING JAYA – Rata-rata pelanggan mengakui terpaksa mengeluarkan belanja lebih ekoran kenaikan harga sayur-sayuran pada musim tengkujuh.
Seorang pelanggan, Halimaton Hamdan, 57, berkata, perbelanjaan dapurnya naik sekali ganda kepada RM100 berbanding RM50 seminggu sebelum ini walaupun sayur-sayuran dibeli dalam kuantiti yang sama.
Siti Hafusah Mahmud, 49, pula berkata, kenaikan harga sayur pada musim tengkujuh begitu dirasai memandangkan dia sekeluarga menggunakannya untuk masakan setiap hari.
“Seboleh-bolehnya saya elakkan makan di luar sebelum ini bagi menjimatkan belanja, tapi sekarang beli barang basah juga harganya sama (mahal),” katanya.
Seorang lagi pelanggan, Jamilah Hassan, 45, berkata, kenaikan harga sayur sedikit membebankan kerana terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk membeli barangan keperluan harian.
“Memang harga sayur naik, tapi sebagai pelanggan kita faham faktor cuaca dan bah yang berlaku pada hujung tahun.
“Walaupun harga sayur di pasar pagi dan pasar segar agak tinggi, namun saya gemar berbelanja di pasar kerana sayurnya segar dan cantik,” ujarnya.
Rosnah Harun, 50, pula memberitahu, dia hanya membeli sayur-sayuran mengikut keperluan kerana harganya naik sejak kebelakangan ini.
Katanya, kebanyakan peniaga pasar memaklumkan kenaikan harga sayur didorong oleh faktor kekurangan bekalan.
“Bila harga sayur naik saya kurangkan kuantiti pembelian. Sekarang saya hanya membeli sawi dan cili merah,” katanya.
Mohamad Idris Mohamad Ismail berkata, perbelanjaannya pada bulan ini meningkat bagi pembelian sayur seperti kubis, tomato dan cili.
“Saya harap harga akan turun lepas musim tengkujuh, memang sakit kalau harganya kekal begini,” katanya.
Suryati Ismail, 55, berkata, kenaikan harga sayur pada musim tengkujuh adalah perkara biasa dan sebagai peniaga kedai makan dia menggunakan sayur segar dari Cameron Highlands.
“Biasanya saya kurangkan sayur dalam menu dan kebanyakan pelanggan memahami,” katanya.













