PETALING JAYA – Sekalipun menyedari pembelian rokok seludup akan menggalakkan lagi aktiviti haram itu, namun dalam kalangan perokok tegar, semua itu langsung tidak dipedulikan.
Rata-rata mereka hanya berpegang kepada dua perkara iaitu jimat duit dan janji berasap.
Seorang penghantar barangan, Kamal, 30, berkata, rokok dianggap peneman setia sejak 10 tahun lalu dan dengan ketiadaannya dirasakan satu kekurangan bagi dirinya.
“Sekarang ini semua barangan ada asli dan tiruan tidak kira pakaian atau kasut, malah rokok pun ada juga.
“Kenapa mahu beli yang mahal kalau yang murah ada? Apa yang penting boleh berasap,” katanya kepada Kosmo!.
Bagi pekerja bengkel, Yazid, 28, rasa rokok seludup yang hampir sama dengan rokok bercukai, membuatkan ia menjadi alternatif kepada perokok tegar.
Katanya, bekalan rokok seludup juga masih mudah didapati kerana banyak kedai runcit dikendalikan warga asing yang menjualnya.
“Kadangkala apabila lepak dengan rakan-rakan perokok, ramai yang suka minta rokok dan rugi jika hidang rokok original.
“Sekotak rokok seludup berharga antara RM5 hingga RM8 sahaja, jimat,” ujarnya.
Zali, 40, pula berkata, dia sering membeli sekarton rokok U2 yang mempunyai 10 kotak dengan harga RM45 berbanding sekotak Dunhill hampir RM18.
“Rokok semua sama. Kalau halal ada tanda amaran kesihatan, tetapi tidak bagi produk seludup, namun kesannya pada kesihatan sama sahaja.
“Saya tahu apabila beli rokok seludup ini, rugikan negara sebab tidak bercukai, namun perokok tak kisah semua itu,” katanya.














