SAMBIL ‘zikir’ dizahirkan oleh ‘Syeikh’, tujuh penari lelaki menepuk-nepuk kiri dan kanan perut mereka serta memetik jari untuk menghasilkan bunyi. Kaki mereka pula dihayun rancak menghasilkan pergerakan yang dirasakan menyatu dengan roh dan jiwa.
Itulah seni seudati Aceh sejak abad ke-17 Masihi yang awalnya diperkenalkan oleh ulama besar Acheh, Syeikh Abdul Rauf As-Singkil. Seudati ini bagaimanapun bukanlah sejenis tarian tetapi satu ritual keagamaan iaitu meratib (melafazkan zikir).
Menurut pengamal kesenian tradisional Aceh, Imam Juani, seudati merupakan salah satu nilai budaya keagamaan yang terbentuk apabila agama Islam mula tersebar di wilayah itu menerusi ilmu-ilmu tasawuf dibawa oleh ahli sufi yang datang berdagang melalui perairan Selat Melaka.
“Seudati merupakan satu bentuk zikir yang diamalkan seiring ajaran Islam dibawa ahli sufi dan ertinya ‘segala sesuatu itu semuanya milik Allah’ sehingga tidak terjadi pertentangan, pertikaian dengan pemahaman-pemahaman dahulu kerana sebelum kedatangan Islam, Acheh sudah ada kepercayaan seperti Hindu dan Buddha.
“Maksudnya ia seni warisan dahulukala, namun selepas Islam datang pengisian seudati ini diganti elemen agama yang bersesuaian. Awalnya zikir ini dilakukan secara duduk, kemudian pada tengah malam posisi akan berubah kepada berdiri sampailah menjelang subuh.
“Jadi, seudati ini diambil oleh ulama-ulama untuk dijadikan cara mensyiarkan nilai-nilai Islam, falsafah Islam dan tauhid. Mereka menggunakan seni yang tidak menggunakan ‘alatan muzik’ ini sebaliknya hanya muzik daripada vokal, hentakan kaki dan pukulan di tubuh,” kongsinya yang merupakan antara 16 pemakalah Program
Persidangan Seni Budaya Selat Melaka (PSBSM): Dunia Maritim Selat Melaka yang berlangsung di Banda Hilir, Melaka baru-baru ini.
PSBSM menghimpunkan 16 pembentangan seni mencakupi pelbagai nilai sosiobudaya di persekitaran Selat Melaka termasuk kesenian hibrid, Islam, pergaulan dan pascakolonial terutama di persekitaran Sumatera, Indonesia dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia termasuk berkisar tokoh maritim.
Tambah Imam Juani, awalnya seudati dilakukan selama sehari semalam tetapi kini seudati seni pertunjukan yang dipersembahkan dalam masa 15 minit.
Mengenai penglibatannya pada program PSBSM, beliau memberitahu Aceh dan Melaka atau Indonesia dan Malaysia secara am mempunyai hubungan persaudaraan dalam lipatan sejarah termasuk dari segi nilai kebudayaan dan perkaitan sebagai negara serumpun yang mempunyai ‘tenaga’ sama yang berbekas secara batin.
Tambahnya, kedatangannya ke persidangan itu adalah bagi berkongsi kekayaan kesenian yang terbentuk di Acheh apatah lagi kesenian Islam berkenaan dilihat semakin dilupakan oleh anak-anak milenium.
Dalam pada itu, kesenian hibrid di Selat Melaka merangkumi seni muzik Portugis telah dibentangkan oleh Gerard De Costa yang terkenal sebagai penyanyi mata-kantiga dan penari branyo.

Mohd. Faisol Rahim pula berkongsi kertas kajian teater tradisional berkenaan Jikey Melayu: Kemelayuan Dalam Masyarakat Maritim.
Katanya, jikey merupakan seni persembahan penggabungan muzik, nyanyian, tarian dan lakonan dengan dialog lucu dengan di awal pembukaan persembahannya digelar Makit Keling yang memaparkan ekosistem dunia maritim dalam masyarakat Melayu.
Jelasnya, paparan sosioekonomi dan sosiobudaya melalui Makit Keling menjadikan jikey satu persembahan masyarakat berbilang kaum yang menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca teater.
Seni persembahan itu merupakan hiburan golongan marhaen dan terus berkembang dalam kalangan masyarakat Melayu dan Siam sekitar pesisir pantai di utara Semenanjung Malaysia dan Thailand.
Sementara itu, kurator PSBSM, Prof. Dr. Mohd. Anis Md. Nor berkata, persidangan itu diadakan bagi mendidik dan mengingatkan generasi muda khususnya mengenai tanggungjawab memelihara seni warisan yang telah ada sejak berzaman lamanya.
“Kita pilih untuk fokus kesenian dunia maritim kerana Melaka ini kaya dengannya, kita mahu ketengahkan peredaran seni warisan ini termasuklah apa yang telah bertukar dan kekal diamalkan,” katanya.
Pada program itu Mohd. Anis turut mengetengahkan topik Ronggeng Melayu: Hibriditi Seni Pergaulan Melayu dan Evolusi Zafin Hadhrami ke Zapin Melayu di Selat Melaka.
Ujarnya, ronggeng Melayu merupakan seni pergaulan Melayu yang pernah popular pada awal abad ke-20 sehingga 1960-an di Malaysia, Singapura dan Sumatera.
Gabungan pelbagai sumber dan pengaruh seni muzik, seni suara serta seni tari telah membentuk ronggeng Melayu sebagai satu kesenian seni muzik dan seni pergerakan berstruktur hibrid dengan gaya yang tersendiri.
Sebagai tradisi kacukan, lagu-lagu ronggeng, muzik dan tarian dipengaruhi budaya Melayu, Portugis, Peranakan (Baba dan Chitty di Malaysia), didominasi nyanyian pantun Melayu (tradisional empat baris ayat) berdasarkan tiga irama: senandung atau asli, inang dan lagu dua atau joget (juga dikenali sebagai tandak).
Sementara itu, antara pemakalah lain ialah Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh, Drs. Mohd. Nasruddin Rahman dan Mohd. Fadzil Mazlan yang berkongsi kehebatan Panglima Awang atau Enrique de Malacca.
Figura itu dikaitkan dengan era kemuncak pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka dan pendudukan awal Portugis di Melaka pada tahun 1511 yang kian dilupakan.
Kisah Panglima Awang sering diperdengar iaitu sosok yang asalnya merupakan tawanan perang semasa misi penaklukan Melaka pada tahun 1511 Portugis dan memiliki keistimewaan tersendiri apabila diajak berlayar bersama-sama orang Sepanyol sejak berusia belasan tahun.
Wan Hashim berkongsi bukti dan kedudukan Panglima Awang yang relatifnya tinggi, bermula sebagai pelindung tuannya, Magellan dan dinaikkan martabat ke dalam kelas menengah dan bukannya hamba. Sekembalinya Panglima Awang ke Semenanjung sekitar Mei 1521, beliau menetap di Rembau, Negeri Sembilan.














