GEORGE TOWN – Peruntukan undang-undang tidak mengkhususkan hanya wanita tetapi lelaki turut diberikan ruang perlindungan yang sama jika menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Peguam Syarie dan Sivil, Muhammad Hariz Md. Yusoff berkata, ada kes suami menjadi mangsa hubungan toksik mendapatkan perlindungan undang-undang sewajarnya.
“Ada kes suami telah menfailkan nusyuz kerana isterinya keluar dengan lelaki lain termasuk ada yang pergi bercuti ke Thailand bersama kekasih gelap dan meninggalkan suami serta anak-anak di rumah,” katanya.
Menurut Muhammad Hariz, tindakan si isteri tersebut ternyata telah mendera mental si suaminya sehingga memaksa lelaki itu menfailkan nusyuz.
Kosmo! melaporkan, isteri yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga bukan sahaja dibenarkan syarak untuk meninggalkan hubungan toksik, malah undang-undang membolehkan mereka mendapatkan perlindungan kecemasan bagi menghalang didekati suami baran.
Peguam Syarie dan Sivil, Muhammad Hariz Md. Yusoff berkata, ketaatan isteri sepatutnya dibalas dengan perlindungan atau jagaan baik suami dan bukannya diseksa dan didera sehingga berbekas dalam hatinya. -KOSMO! ONLINE














