PETANG itu, Yang Chi’ao, 23, mengambil tempat duduk bersebelahan dengan beberapa peralatan senaman di sebuah gimnasium sementara menunggu namanya dipanggil oleh jurulatih.
Gimnasium tersebut bukanlah ‘biasa-biasa’, sebaliknya ia terletak di dalam sebuah kem kurus badan di Chengdu, China.
Selain Chi’ao, lebih separuh daripada 60 peserta kem tersebut merupakan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.
Tindakannya mendaftar diri untuk menyertai kem mengurangkan berat badan itu bermakna Chi’ao sudah bersedia mengikuti rejim yang ketat.
Kewujudan kem tersebut di China umpama ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ sebagai sebahagian daripada usaha negara itu mengawal kadar obesiti penduduk.
Bahkan, Chi’ao yang merupakan seorang tenaga pengajar sanggup berhenti kerja pada awal tahun ini semata-mata untuk mengikuti rejim senaman dan diet ketat di kem tersebut.
Dikatakan terdapat lebih 1,000 kem seumpamanya di China ketika ini.
Bercakap kepada agensi berita, AFP, Chi’ao memberitahu, antara aktiviti yang dibuat di kem itu termasuk berjalan pantas.
Ujarnya, setiap gerak-geri mereka diawasi oleh sekumpulan jurulatih bagi memastikan peserta tidak ‘curi-curi’ membeli makanan.
“Saya yakin, ada peserta yang mahu membeli makanan. Idea itu juga pernah timbul di minda saya, namun saya tidak pernah berjaya melakukannya memandangkan jurulatih kem sentiasa mengekori di belakang,” katanya.
Ujar wanita itu, sebelum ini, rejim ketat di kem kurus di China pernah menimbulkan kontroversi susulan kematian seorang pempengaruh dalam usaha mengurangkan berat badan sebanyak 100 kilogram (kg).
Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat Chi’ao untuk mengikuti rejim berkenaan sehingga berjaya meningkatkan staminanya.
Malah, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak hampir 30kg sejak Julai lalu.
“Ketika pertama kali masuk ke kem ini pada Julai lalu, berat badan saya adalah 114kg.
“Namun, sejak mengikuti kem ini, berat badan saya turun hampir 30kg,” katanya.
Untuk mengikuti kem tersebut, ibu bapa Chi’ao membayar yuran sebanyak 3,000 yuan (RM1,849) sebulan.
Di situ, Chi’ao berkongsi bilik dengan tiga peserta lain.
Biarpun tinggal berdekatan kem tersebut, namun Chi’ao tidak dibenarkan meninggalkan premis itu dari Isnin hingga Sabtu, melainkan jika berdepan masalah tertentu.

Para peserta juga dikatakan perlu bersenam sekurang-kurangnya lima jam sehari.
“Di sini, tiada sesiapa pun dibenarkan untuk ‘curi-curi’ keluar memandangkan pengawal terdapat di mana-mana.
“Sekiranya ditangkap, mereka akan menerima hukuman seperti berlari sejauh 5 kilometer atau melakukan latihan burpees,” katanya.
Dedah Chi’ao lagi, motivasi untuk menurunkan berat badan juga didorong oleh kegilaannya untuk memuat naik kandungan di platform media sosial Douyin dan Xiaohongshu.
“Jika saya tidak merakam diri melakukan aktiviti di sini, saya tiada kandungan untuk dimuat naik.
“Jika saya tidak memuat naik kandungan, orang pasti akan tahu bahawa saya sedang bermalas-malasan,” katanya.
Di sebuah lagi lokasi kem kurus, seorang jurulatih, Chen Hang memberitahu, kebanyakan peserta yang mendaftar mengikuti kem tersebut adalah disebabkan gagal mengawal diet seharian mereka.
“Selain gagal diet, mereka juga tidak bersenam,” kata Hang sambil memberitahu, jumlah peserta yang datang ke kem tersebut terus bertambah pada setiap bulan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, obesiti telah menjadi topik yang membimbangkan di China.
Menurut data daripada Laporan Status Pemakanan dan Penyakit Kronik di China pada tahun 2020, kira-kira separuh (50.7 peratus) orang dewasa di negara itu mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
China meletakkan obesiti pada tangga keenam bagi senarai risiko utama kematian dan masalah kurang upaya. Ini mendorong kepada pelbagai usaha bagi mengatasi masalah tersebut.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan Beijing menyifatkan bahawa pertambahan individu obesiti atau mempunyai berat badan berlebihan sudah menjadi satu kelaziman di negara itu.
Ia telah mengakibatkan peningkatan terhadap kegilaan untuk kurus dalam kalangan penduduk.
Malah, sebuah filem bertajuk, YOLO arahan Jia Ling yang mengisahkan tentang seorang wanita obes belajar tinju untuk meningkatkan keyakinan diri telah mencatat kutipan box office di negara itu.
Jia Ling yang juga merupakan pelakon utama filem itu berjaya menurunkan berat badan sehingga 50kg sepanjang penggambaran.
Sementara itu, Pengarah Perubatan Hospital Raffles Beijing, Charles Poon berkata, trend tersebut mungkin ada kaitannya dengan peningkatan perbelanjaan membeli makanan yang lazimnya mengandungi jumlah kalori tinggi.
Selain itu, semakin ramai golongan pekerja yang menghadapi masalah di tempat kerja hingga menyebabkan stres.
“Pekerjaan menjadi semakin rumit hingga menyebabkan ramai yang mula berasa tertekan,” ujarnya.
Poon juga menyatakan tekanan perasaan boleh menyebabkan berlakukan ketidakseimbangan hormon yang menyumbang kepada masalah obesiti.














