KOTA BHARU – Banjir yang melanda Kelantan dan tiga Wilayah selatan Thailand ketika ini menyebabkan beberapa agensi serta ejen pelancongan di sini terlepas peluang meraih puluhan ribu ringgit selepas ramai pelancong membatalkan tempahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Eniq World Travel Sdn. Bhd. (Eniq World), Datuk Mohd. Rowi Dollah berkata, pihaknya ‘terlepas’ lebih RM30,000 apabila 21 tempahan pelancong dari Malaysia ke Narathiwat, Hatyai dan Phuket dibatalkan dalam tempoh 25 hingga 30 November ini.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan mula membatalkan tempahan pada 24 November lalu selepas melihat situasi hujan lebat berterusan melanda Kelantan dan selatan Thailand tiga hari sebelum itu.
“Sebanyak 21 tempahan yang dibatalkan itu terdiri daripada kumpulan pelancong dari Kelantan dan Terengganu. Mereka sebelum ini sudah membuat tempahan sejak bulan Jun dan Julai lalu untuk ke Narathiwat, Hatyai dan Phuket.
“Meskipun tahu tempoh hujung November merupakan musim tengkujuh dan berisiko berlaku banjir, kami tetap menerima tempahan kerana mahu melihat keadaan semasa dan cuaca pada waktu tersebut,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mohd. Rowi memberitahu, syarikatnya juga tidak mengambil sebarang deposit daripada pelancong yang berminat untuk ke tiga lokasi pelancongan di Thailand itu.
Menurutnya, pakej bagi trip tiga hari dua malam ke Hatyai yang disediakan oleh Eniq World adalah RM370 seorang atau RM3,700 untuk trip berkumpulan 10 orang termasuk penginapan dan pengangkutan di negara tersebut.
Beliau berkata, bagi trip tiga hari dua malam ke Phuket, ia melibatkan pakej RM5,900 untuk 10 orang, manakala melancong sehari suntuk ke Narathiwat pula RM750 bagi jumlah pelancong yang sama.
Mohd. Rowi berkata, selain itu, syarikatnya telah menerima sebanyak 18 tempahan ke Hatyai, Phuket dan Narathiwat sepanjang Disember ini dan sehingga kini belum ada kata putus daripada pelanggan.
Sementara itu, seorang ejen pelancong yang mahu dikenali Kamal, 40, berkata, dia terpaksa membatalkan tiga trip pelancong dari Malaysia ke Narathiwat membabitkan tarikh 30 November, 3 dan 7 Disember depan.
“Lebih baik saya membatalkan perjalanan ke sana kerana laluan ke Rantau Panjang semuanya sudah dinaiki air. Sesetengah pelanggan sudah membayar deposit untuk trip itu dan saya perlu memulangkan semula wang mereka,” ujarnya.
Bagaimanapun Kamal berkata, ada pelanggan yang bersetuju untuk menunda trip makan angin mereka ke Narathiwat pada Januari depan selepas musim tengkujuh semakin reda.
Seorang pemandu van persiaran di Sungai Golok, Hamdan Osman, 47, berkata, dia juga terpaksa membatalkan satu trip pelancong ke Hatyai pada 1 Disember ini berikutan keadaan banjir yang melanda tiga Wilayah selatan Thailand ketika ini.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia terlepas pendapatan sebanyak RM3,500 untuk trip tiga hari dua malam bagi perjalanan 10 orang pelancong.
“Pelancong yang membatalkan tempahan itu dari Terengganu. Mereka memaklumkan kawasan mereka juga terjejas banjir dan tidak boleh meneruskan perjalanan ke Kelantan yang turut terjejas bah.
“Saya anggap ini sudah bukan rezeki. Tunggu banjir surut, baru saya akan menerima tempahan pelancong,” katanya.















