BERMULA dengan mengikuti bapa memancing, dirinya tidak menyangka akan jatuh cinta dengan aktiviti yang biasanya dilakukan oleh golongan lelaki itu.
Walaupun awalnya sekadar suka-suka, sehingga kini wanita itu menjadikan hobi memancingnya sebagai aktiviti mingguan ketika masa lapang.
Kongsi Nurul Aina Mazalan, 28, pengaruh memancing bukan sekadar datang daripada bapanya tetapi juga abang yang juga kaki pancing.
“Dari zaman sekolah, saya sudah ikut ayah memancing dan dia banyak ajar saya tentang hobi itu. Bila sudah dewasa, saya tertarik pula melihat abang memburu ikan toman dan mahu mencubanya.
“Walaupun bekerja sebagai jurusolek, saya akan sentiasa mencari masa lapang untuk memancing dan meneroka lubuk-lubuk menarik di sekitar Semenanjung Malaysia,” katanya ketika dihubungi K2.
Tambahnya, dalam hobi memancing dia lebih gemar memburu ikan toman dan memfokuskan kepada ikan berkenaan setiap kali menyertai aktiviti tersebut.
Berkongsi tentang pengalaman memancing toman, ia bermula sekitar tahun 2021 selepas melihat abangnya mula memancing dan ‘bermain’ ikan toman.
Katanya, dia tertarik apabila melihat keterujaan memancing ikan berkenaan dan mula belajar kemahiran memancing ikan air tawar tersebut.
“Saya mula belajar dengan abang, tetapi sebelum saya cuba mencari toman, selama dua bulan saya berlatih dengan teknik casting untuk menangkap ikan bulan terlebih dahulu.
“Selepas terbiasa dengan teknik, barulah saya cuba menawan toman dan tidak dinafikan awalnya ia memberi satu cabaran yang berbeza kerana ikan ini sukar diduga, malah lebih agresif,” ujarnya.

Kongsinya lagi, dalam memancing ikan toman, selain peralatan dan umpan yang bersesuaian, pemancing juga perlu faham dengan ‘perangai’ ikan itu dan jenis lubuk dihuninya.
Terdapat di sebahagian tempat ikannya mudah ditawan dan ada juga lebih agresif yang mana bergantung kepada persekitaran, diet dan lokasi tempat memancing.
Jelasnya, biasanya ikan di lubuk semula jadi dan liar lebih ganas berbanding di bekas lombong yang sering dikunjungi oleh pemancing lain.
“Ikan toman ini ada moodnya, bila tiba pada saat aktif, akan banyak lokasi yang boleh ia kelihatan untuk kita lempar pancing, tetapi bila pasif memang susah mahu ditangkap.
“Persekitaran dan ekosistem juga memainkan peranan, sebab ikan toman merupakan ikan pemangsa dan di lokasi liar, ia biasa memburu makanan dan sebab itu lebih agresif,” katanya yang juga pernah menangkap ikan sebarau dan haruan.
Dalam keterujaan menangkap ikan toman, sebagai wanita, Nurul Aina juga mengakui isu keselamatan perlu diambil perhatian.
Jelasnya, sebagai pemancing wanita, sebaiknya jika mahu memancing toman pergilah dalam kumpulan atau bersama kawan-kawan.
Ini berikutan, memancing toman biasanya dilakukan di atas bot dan adanya kawan-kawan ia dapat membantu saat genting ketika bertarung menawan ikan.
“Ikan toman ini bila agresif memang akan mencabar dengan kudrat wanita dan perlunya ada teman-teman yang membantu supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini.
“Wanita juga tidak ramai yang merupakan kaki pancing dan agak bahaya sekiranya turun seorang diri terutama di lubuk-lubuk liar,” kongsinya.
Meskipun begitu, Nurul Aina yang aktif berkongsi pengalaman memancing di media sosial, ainamazalan.angler itu mengatakan bahawa golongan wanita juga sebenarnya boleh menyertai aktiviti memancing walaupun ia didominasi golongan lelaki.
Bagi yang mahu menceburinya, apa yang penting adalah sentiasa ringan mulut untuk bertanya, belajar dan mencuba dengan memancing di kolam komersial, selain mencari kawan-kawan dengan minat yang sama.














