Beberapa penari mempersembahkan tarian Portugis semasa Pentas Seni Merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Komuniti Portugis-Melaka lestarikan tarian tradisi nenek moyang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARISAN penari lelaki dan perempuan berpakaian tradisional Portugis berdiri dalam postur menegak sambil tangan mereka diletakkan di pinggang.

Para penari mula menggerakkan kaki ke kiri dan ke kanan saat kumpulan muzik memulakan rentak perlahan lagu tradisional Portugis.

Apabila muzik menjadi semakin rancak, tangan penari mula digerakkan ke atas dan ke bawah sambil berjalan memasuki ruang utama pentas.

Di dalam formasi bulatan, para penari melakukan gerakkan tangan dan kaki yang ringkas sambil memusingkan badan mereka.

Menurut Ketua Kumpulan Tarian 1511 O Maliao Maliao, Gerard De Costa, tarian bernama limeshima itu merupakan salah satu tarian asli yang dipelajari daripada guru tari dari Portugal.

“Pada sekitar tahun 50-an, guru dari Portugal itu datang ke Melaka untuk mengajar generasi emak ayah saya tarian tradisi masyarakat Portugis.

“Saya merupakan generasi kedua yang meneruskan legasi tersebut. Pada masa akan datang, kami berharap tarian ini akan diwarisi oleh generasi-generasi seterusnya,” katanya kepada K2.

Lelaki berusia 60 tahun itu ditemui ketika mengendalikan bengkel tarian komuniti Portugis-Melaka (Kristang) sempena Pentas Seni Merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bengkel yang dikendalikan oleh Pusaka bersama kumpulan tarian 1511 O Maliao Maliao daripada komuniti Portugis-Melaka itu berlangsung selama sejam. Selain tarian limeshima, para peserta bengkel turut diajar cara menari tarian ragedinho dan branyo.

Untuk pengetahuan, tarian Portugis terbahagi kepada dua iaitu tarian dari Portugal dan tarian Portugis-Melaka.

Tarian dari Portugal merujuk kepada tarian rakyat pelbagai wilayah di Portugal yang masih diamalkan di negara tersebut.

Antara tarian tersebut adalah vira, corridinho, fandango, bailinho da madeira, pauliteiros de miranda, malhao dan saias.

Kumpulan 1511 O Maliao Maliao aktif melakukan tarian sewaktu perayaan komuniti Portugis-Melaka.

Sementara tarian Portugis-Melaka merujuk kepada tarian Portugis yang sudah ‘berasimilasi’ dengan unsur-unsur di Nusantara.

Tarian yang diwarisi dari zaman penjajahan Portugis di Melaka itu adalah jinkli nona, farapeira dan tarian golek-golek.

Tambah lelaki yang memainkan peranan sebagai penyanyi tersebut, kumpulan tarian 1511 O Maliao Maliao unik kerana menggunakan muzik secara langsung.

“Terdapat tiga kumpulan yang mengamalkan tarian tradisional di Perkampungan Portugis, Melaka, namun, hanya kami yang menggunakan muzik secara langsung.

“Kumpulan lain menggunakan muzik menerusi cakera padat yang dipasang ke pembesar suara sewaktu melakukan persembahan,” katanya.

Sebagai rekod, nama kumpulan tarian 1511 O Maliao Maliao yang dibentuk sejak 2012 itu memiliki maksud tersirat.

1511 merujuk pada tahun Portugis menakluki Melaka dan menandakan permulaan sejarah Portugis-Melaka di Malaysia.

O Maliao Maliao pula merupakan frasa Portugis Melaka yang membawa maksud ‘mari kita menari dan bergembira’.

Kumpulan tarian 1511 O Maliao Maliao komited mempromosikan budaya Portugis-Melaka dan meningkatkan kesedaran tentang warisan Portugis-Melaka.

Gerard De Costa dan Margret De Mello merupakan antara ahli kumpulan 1511 O Maliao Maliao.

Kumpulan tersebut terdiri daripada penari perempuan iaitu Merina Felix, Sharon D’Roch, Mitchell Shanti Vellu, Elizabeth Rodriguese, Kelly Rodriguese dan Margret De Mello.

Mengiringi mereka adalah barisan penari lelaki iaitu Jimmy Savage, Collin Pinto, Gregory Danker, Fabian Vellu, Derius Danker dan Gerard Lazaroo.

Sementara itu, barisan pemuzik pula diketuai oleh Gerard De Costa sebagai penyanyi sambil diharmonikan oleh irama daripada Jerry Pereira, Jerry Alcantra, Edward Nunis, Donny De Costa dan Christopher De Mello.

Antara instrumen yang digunakan adalah gitar, alat muzik perkusi, tambourine, maracas dan castanets.

Mengimbau kembali saat pertama kali menyertai kumpulan tersebut pada 2012, Margret De Mello mengakui tarian Portugis memerlukan stamina yang tinggi.

Uniknya, majoriti ahli kumpulan 1511 O Maliao Maliao berada dalam lingkungan usia warga emas, tetapi mereka masih bertenaga.

Namun, wanita berketurunan Bidayuh dari Sarawak itu mencabar dirinya untuk menguasai tarian tersebut setelah mengahwini lelaki berketurunan Portugis.

“Setelah 12 tahun bersama dengan kumpulan 1511 O Maliao Maliao, saya sudah mampu menguasai tarian Portugis dan bahasa Portugis-Melaka (Kristang).

“Tarian Portugis memerlukan seseorang itu berlari dan melompat. Langkah tari tersebut perlu diulang-ulang sehingga habis lagu,” katanya.

Kumpulan 1511 O Maliao Maliao aktif melakukan tarian ketika perayaan komuniti Portugis-Melaka, terutamanya Festa San Pedro (Feast of St. Peter).

San Pedro merupakan perayaan menyambut hari jadi San Pedro iaitu penaung kepada nelayan, sekali gus mencerminkan hubungan mendalam antara orang Portugis-Melaka dan laut.

Ini kerana, kerjaya sebagai nelayan merupakan mata pencarian utama bagi kebanyakan keluarga Portugis-Melaka.

Dalam pada itu, wanita berusia 54 tahun tersebut turut memperkenalkan busana tradisional yang dipakai penari.

Busana penari wanita terdiri daripada skaf yang menutupi kepala, blaus putih lengan pendek, anak baju dan skirt labuh kembang beropol dengan dilapisi apron.

Sementara bahagian dalam skirt mempunyai seluar khas hingga ke paras lutut berhias renda.

Busana lelaki pula melibatkan baju kemeja berlengan panjang berwarna putih yang dilengkapi dengan rompi dan berseluar panjang hitam. Kemudian, skaf diikat di leher, bertopi hitam dan memakai kasut kulit hitam.

Ujar ibu kepada tiga orang anak itu, busana yang dipakai kumpulan tersebut mencerminkan gaya tradisional Portugis-Melaka.

“Pakaian penari praktikal walaupun tradisional. Ini bagi membolehkan penari berada dalam keselesaan ketika melakukan pergerakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN