DALAM asas estetika minimalis, warna putih memainkan peranan penting sebagai kanvas yang menjadikan suasana tampak kemas.
Dinding yang dicat dengan warna putih mencipta ilusi keluasan dengan pantulan pencahayaan berkualiti sekali gus menaikkan seri rumah.
Bagi pemilik rumah semi-D tiga tingkat di Kajang, Selangor, Madsmona Md. Salleh, warna putih bukan sahaja diterapkan pada dinding, malah pada hampir keseluruhan perabotnya.
“Saya sememangnya pilih warna putih untuk mendominasi tata hias rumah kerana warna tersebut membuatkan ruang nampak luas dan bersih.
“Apabila warna putih dinding digabungkan dengan warna putih perabot, ia mencetuskan keharmonian yang sesuai dengan konsep,” katanya kepada K2.
Mengklasifikasikan dekorasinya sebagai japandi modern minimalist, wanita berusia 33 tahun tersebut menyuntik sedikit warna kayu sebagai penyeimbang suasana.
Estetika tersebut dapat dilihat pada dinding flute di ruang tamu yang turut diharmonikan dengan sofa warna serupa.
Kesinambungan warna tersebut dapat dilihat pada kerusi dan meja makan yang memiliki kedua-dua warna putih dan warna kayu.
Sementara suntikan warna kayu di dapur basah, kering dan bilik boleh dilihat pada pemasangan lantai laminated flooring.

Untuk tidak terlalu kelihatan kontras, Madsmona turut menambah warna kelabu pada pemilihan sofa utama dan permaidani di ruang tamu.
Ujarnya, inspirasi tata hias rumahnya itu diambil sepenuhnya daripada Pinterest sebelum menunjukkannya kepada pereka hiasan dalaman.
“Kami cari rujukan di Pinterest mengenai idea deko konsep japandi dan kami terapkan di rumah kami.
“Kami gunakan pereka hiasan dalaman sedia ada untuk menterjemahkan konsep yang kami mahu,” katanya.
Tambah wanita yang juga seorang usahawan tersebut, rumah pertamanya itu dibeli secara subsale dan mengalami sedikit pengubahsuaian.
Antara bahagian rumah diubah suai adalah pada ruang tamu dan dapur bagi menambahkan lagi keluasannya.
Katanya, kos pengubahsuaian dan hiasan dalaman rumah dengan keluasan keseluruhan sebanyak 3,000 kaki persegi (278.7 meter persegi) itu mencecah RM200,000.
“Rumah ini merupakan rumah pertama kami. Secara keseluruhan ia memakan masa sebanyak lima hingga tujuh bulan untuk disiapkan.
“Kami bersyukur atas Izin Allah, kami berhasil memiliki rumah impian dengan enam bilik tidur dan tujuh tandas ini,” ujarnya.















