BILA berpulang mereka yang banyak berjasa kepada masyarakat dan keluarga, kita berasa cukup kehilangan. Mereka ini pergi membawa sejarahnya. Ibarat khazanah tidak ternilai.
Sekejap-sekejap kita dikejutkan dengan berita pemergian ke rahmatullah ini. Antaranya tok sidang itu, penghulu kampung sebelah, belum lagi datuk, nenek, tok wan, tok mi, opah.
Kalau bab pemimpin atau legenda, ramai yang sudah berpulang. Baru-baru ini sahaja Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Dr. Ibrahim Saad dan Datuk S. Atan.
Tetapi dalam ramai yang maklum dan kenal sejarah latar belakang mereka, ramai lagi sebenarnya yang terlepas pandang.
Kurang ambil berat, sengaja tidak mahu ambil tahu kisah salasilah keluarga, apa lagi pasal sejarah kepimpinan negara.
Siapa dia? Sejarah mereka dan kesannya kepada negara? Manfaatnya kepada apa yang telah dan sedang dinikmati rakyat hari ini?
Itu soal sejarah, belum lagi masuk hal bahasa, budaya serta budi pekerti. Sementelahan bahasa Melayu banyak sudah diInggeriskan, bila asas bahasa sudah diubah sedemikian rupa, apa lagi yang kita boleh bercakap soal budi pekerti?
Perhati sahaja di sekeliling kita hari ini. Soal sahsiah rosak, akhlaknya entah ke mana. Tidak boleh disalahkan internet yang dikatakan ‘merampas’ nilai-nilai positif ini.
Sebaiknya sistem moden kita di negara inilah yang harus bijak menapis dan menangkis nilai-nilai luaran negatif ini hingga terlampau pula bergantung kita kepada paparan komputer tangan – telefon bimbit.
Ini semua sedang ligat menjajah kehidupan kita, lantas membolosi daya tahan, bahasa, komunikasi, pendidikan dan keluarga.
Sewajarnya Malaysia kini memiliki kandungan tempatannya (local content) dalam kebanyakan kandungan pelajaran dan senario Internet.
su bahasa, nilai, budi pekerti, akhlak dan tamadun inilah yang patut menjadi soalan cepu emas kepada ibu bapa, pemimpin politik, ketua jabatan, guru, penguat kuasa, hakim dan mereka yang berasas kepada pendidikan.
Persekolahan semata-mata nampaknya gagal membentuk masyarakat luhur, bersopan santun tinggi atau mengamalkan budaya tinggi.
Bila berbicara soal nilai dan kualiti aras tinggi, sejenak saya teringat kepada arwah Daim. Allahyarham dianggap the reluctant politician atau ahli politik yang tidak begitu ghairah untuk menjadi anggota Kabinet.
Beliau tidak suka hadiri majlis-majlis rasmi. Tidak gemar sampaikan ucapan politik. Beliau sering menyisihkan diri dari limelight atau suluhan media.
Banyak majlis yang beliau tidak hadiri. Apabila perdana menteri atau timbalan perdana menteri keluar negara, ramailah anggota Kabinet dan pegawai turut hantar pemimpin di lapangan terbang.
Kepada Daim itu semua tidak penting. Namun hubungannya rapat dengan perdana menteri, lantaran keupayaannya dalam membimbing ekonomi negara.
Sejarah, bahasa, bidalan, kata-kata hikmat, adat, budaya dan budi sentiasa boleh dijadikan petua hidup.
Orang Melayu khasnya mesti sedar akan peranan adab, budaya dan bahasa Melayu dalam lipatan sejarah dan evolusi mereka sebagai bangsa yang tak hilang di dunia.
Jangan sampai nanti anak cucu kita tidak kenal akan sejarah nenek moyang mereka? Sejarah negara, budi pemimpin serta impak mereka. Oh! siapa dia?














