fbpx
Penduduk Orang Asli di Pos Gob mengharungi Sungai Puian kerana tiada jalan penghubung atau jambatan untuk ke kampung berhampiran di Gua Musang semalam. – AIMUNI TUAN LAH

Tiada jalan, penduduk ulang-alik harung sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Setiap hari terpaksa mengharung sungai kerana tiada jalan penghubung. Itulah situasi yang berlaku kepada penduduk Orang Asli di tiga buah kampung di Pos Gob di sini kerana tiada jalan atau jambatan untuk ke kampung seberang.

Situasi itu terpaksa dihadapi oleh lebih 200 penduduk kampung terutama golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak di Kampung Tembaga, Kampung Lengrang termasuk Kampung Bercak yang berulang-alik menyeberangi Sungai Puian untuk ke Kampung Gob.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Gob, Adi Liman berkata, sekiranya cuaca hujan, paras air Sungai Puian akan meningkat dengan cepat dan penduduk terpaksa berenang.

Mereka juga terpaksa me­ngangkat motosikal menggunakan rakit buluh yang dibina secara bergotong-royong.

Katanya, penduduk terlibat perlu menyeberangi Sungai Puian sejauh lebih tiga meter untuk sampai ke kawasan tebing Kampung Gob.

“Kita mohon kepada kerajaan dapat memberi peruntukan bagi membina jambatan gantung untuk kesenangan penduduk di kawasan ini termasuklah bayi dan kanak-kanak yang masih
kecil.

“Rakit buluh yang dibina bagi membawa motosikal menyeberangi Sungai Puian hanya bertahan beberapa bulan kerana sering rosak dan pecah akibat beban yang berat,” katanya.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Angah Asu, 67, pula berkata, mereka berharap agar sebuah jambatan gantung dapat disegerakan bagi kemudahan masyarakat setempat untuk ke kampung berhampiran dan bandar Gua Musang.

Katanya, penduduk Orang Asli terpaksa mendukung anak yang masih kecil mengharungi sungai meskipun memberi risiko kepada keselamatan nyawa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Sapiah Mohd. Nor berkata, dia sendiri telah turun padang untuk melihat ke­perluan jalan perhubungan penduduk Orang Asli di Pos Gob dan pihaknya sedang merancang untuk membina sebuah jambatan gantung di situ.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN