fbpx
PARA pelatih diuji ketahanan fizikal dan mental menerusi PLKN. – GAMBAR HIASAN

EKSKLUSIF: PLKN 3.0 wajib, langgar akta jika tolak tawaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu yang menolak tawaran menyertai siri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dijadualkan tahun depan boleh dianggap sebagai melanggar Akta Latihan Khidmat Negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam konteks ini, pemilihan peserta dibuat secara rambang selain berkonsep sukarelawan yang mana ada perkara-perkara digariskan bawah akta berkenaan.

“Kita ada akta PLKN, ada dia punya perkara-perkara, kalau tidak melanggar akta (penolakan tawaran),” katanya kepada Kosmo! di sini kelmarin.

Berdasarkan Akta Latihan Khidmat Negara 2003, menteri diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan yang menghendaki peserta yang terpilih untuk menghadiri latihan khidmat negara.

Bagi individu yang dipanggil untuk menghadiri latihan, namun gagal menghadirkan diri, jika disabit kesalahan, mereka diperintahkan untuk melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelaksanaan modul bagi PLKN 3.0 itu, Mohamed Khaled berkata, ia merangkumi 70 peratus asas latihan ketenteraan dan 30 peratus elemen kenegaraan.

Katanya, pelaksanaan modul terlibat yang akan dilaksanakan selama enam minggu dilihat mencukupi bagi membolehkan matlamat PLKN dicapai termasuk membangunkan karakter dan semangat patriotik pelatih.

“Antara modul penting yang ditambah baik dan diperbaharui ialah Modul Kenegaraan Elemen Jati Diri yang akan ­menerapkan mata pelajaran konsep jati, ­identiti nasional serta sejarah.

“Modul Kenegaraan Elemen Cinta Negara pula memfokuskan konsep Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen, pilihan raya, sistem Persekutuan dan juga hubungan luar,” katanya.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, modul itu juga melibatkan Modul Kenegaraan Elemen Perpaduan serta Modul Asas Ketenteraan berkonsepkan pembelajaran menerusi pengalaman dan latihan berkumpulan.

“Ia merangkumi kemahiran asas ketenteraan, mempelajari dasar dan pertahanan negara selain meningkatkan kemahiran kepimpinan serta memperhebatkan asas kesejahteraan hidup,” ujarnya.

Susulan itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya ­telah membuat kajian terperinci bagi melaksanakan PLKN 3.0 yang mana program terbabit akan dimulakan melalui latihan percubaan selama 45 hari bermula dari 12 Januari hingga 8 Mac 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN