fbpx
Anwar menghadiri sesi meja bulat bersama kira-kira 60 pemimpin industri dan perniagaan di Mesir semalam

Malaysia pacu pertumbuhan ekonomi ke peringkat global – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia berupaya memacu pertumbuhan ke peringkat global berdasarkan polisi Kerajaan Madani yang jelas serta angka dan penunjuk ekonomi negara yang memberangsangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan itu juga berdasarkan pengiktirafan Malaysia sebagai hab utama dalam bidang semikonduktor dan tenaga hijau di rantau Asia Tenggara.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan beliau menghadiri sesi meja bulat bersama kira-kira 60 pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Mesir serta delegasi perniagaan Malaysia semalam.

“Sesi ini turut dihadiri Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Republik Arab Mesir, Hassan El Khatib dan dimanfaatkan sebaiknya untuk berinteraksi serta memberi keyakinan kepada mereka terkait peluang pelaburan di Malaysia selain penerokaan usahasama perniagaan dan perdagangan dengan syarikat di negara kita.

“Beberapa peluang dalam industri sawit, automotif, farmaseutikal dan produk perubatan, semikonduktor, sektor digital serta tenaga diperbaharui dibincangkan dalam sesi yang produktif ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Dalam hantaran berasingan, Anwar berkata, beliau berkesempatan mengadakan kunjungan singkat ke Wisma Seri Mutiara iaitu bangunan asrama buat pelajar dari Pulau Pinang yang menuntut di Universiti Al-Azhar Al-Sharif.

Menurut Perdana Menteri, beliau menyantuni pelajar terbabit dan menitipkan pesan kepada mereka supaya menuntut ilmu dengan baik dan menjaga nama negara.

“Dalam lawatan ini saya juga menyaksikan penyerahan dana peruntukan bernilai RM780,000 oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kepada Wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah.

“Ia bagi proses penambahbaikan dan penyelenggaraan asrama lama Wisma Seri Pinang yang terletak bersebelahan bangunan baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN