SEORANG penghuni yang kini menjalani pemulihan akibat ketagihan dadah. – SHAHIR NOORDIN

Godaan cecair khayal RM1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Penggunaan dadah dalam kalangan orang muda tidak hanya tertumpu kepada pil kuda dan ganja, malah dadah jenis magic mushroom yang boleh diperoleh pada harga serendah RM1 turut menjadi kegilaan golongan tersebut.

Lebih mengejutkan apabila ketagihan terhadap dadah jenis cecair ini boleh mengakibatkan seseorang itu bertindak di luar kawalan termasuk ada yang sanggup untuk mencederakan ibu bapa sendiri.

Difahamkan, cecair khayal itu boleh diperoleh pada harga serendah RM1 setitik atau RM150 bagi 10 mililiter (ml) dan didakwa dijual di pasaran gelap.

Perkara itu diakui sendiri oleh seorang bekas penagih dikenali sebagai Arif, 20, yang kini menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Nur Al-Barakah Sufi di Kota Kuala Muda, dekat sini.

Menurut Arif, dia mula mengambil dadah jenis ganja pada usia 17 tahun sebelum beralih kepada magic mushroom selepas menyambung pengajian di sebuah pusat pendidikan dan latihan kemahiran di Lembah Klang.

“Saya ambil magic mushroom semasa berada di kolej sebab pengaruh kawan-kawan. Memang kebanyakan kawan saya ambil dadah jenis ini sebab harga nya murah iaitu serendah RM1 untuk setitik.

“Kawan saya sendiri jadi tokan dan selepas itu, saya juga terlibat untuk jual sehingga mampu memperoleh RM300 sehari. Begitupun, semua wang itu habis begitu sahaja kerana saya perlu
beli bekalan untuk kegunaan sendiri,” dakwanya ketika ditemui wartawan Kosmo! baru-baru ini.

Dakwanya lagi, kebanyakan pelanggan terdiri daripada rakan-rakannya yang berusia belasan tahun sehingga lingkungan 20-an termasuk pelajar sekolah menengah.

“Saya ambil dadah ini selama tiga tahun menyebabkan saya jadi tidak waras dan pernah bercakap seorang diri.

“Saya memang tidak sedar dan sampai satu tahap pernah pukul adik perempuan sendiri sehingga cedera,” katanya.

Menurutnya, godaan magic mushroom memang sangat teruk dan boleh membuatkan seseorang itu jadi hiper dan agresif.

“Akibat ketagihan melampau, fikiran saya jadi kosong sehingga saya tidak tahu apa yang berlaku pada diri sendiri,” ujarnya.

Seorang lagi bekas penagih dikenali sebagai Hafiz, 23, mendedahkan, dia pernah menghabiskan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan hanya semata-mata untuk membeli dadah tersebut.

“Saya merupakan orang kelainan upaya (OKU) fizikal dan mula mengambil magic mushroom pada usia 21 tahun atas ajakan kawan-kawan. Saya boleh habiskan hingga empat botol cecair dalam masa seminggu dengan satu botol berisi 10 ml dibeli pada harga RM150.

“Bila ambil magic mushroom ini memang rasa seronok, lama-kelamaan saya jadi teruk sebab mungkin ia telah jejaskan otak saya. Memang tidak boleh fikir macam orang waras, ayah pun saya ugut mahu tikam,” dakwanya.

Katanya, wang sedekah daripada orang ramai dan saudara-mara juga digunakan untuk membeli dadah tersebut.

“Keadaan diri memang teruk sehingga saya dihantar ke pusat pemulihan ini. Alhamdulillah sekarang saya semakin sembuh daripada masalah ketagihan. Di sini, kami diajar ilmu agama diketuai Pengarah Pusat, Ahmad Fakhrurazi Md. Arof,” katanya.

Sebelum ini, Pusat Racun Negara mendedahkan bahawa penggunaan vape magic mushroom semakin berleluasa dengan gejala kecelaruan mental serta tingkah laku abnormal yang dialami penggunanya.

Kajian yang dilakukan terhadap beberapa sampel cecair ini mendapati tiada dadah psilosibin yang dikesan di dalam sampel tersebut.

Sebaliknya, ia didapati mengandungi dadah sintetik yang lebih berbahaya dan boleh menyebabkan gejala keracunan teruk dan boleh membawa maut.

Ia menunjukkan peranti vape sangat mudah dimanipulasi dan penggunaan vape tanpa kawalan ketika ini boleh menjurus kepada penyalahgunaan dadah berbahaya termasuk dadah-dadah sintetik baru, ketamin, phencyclidine dan dadah jenis amphetamine. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN