DONALD TRUMP bukanlah satu nama yang perlu diperkenalkan lagi dan beliau akan kembali berkuasa di Amerika Syarikat (AS).
Trump yang merupakan calon Parti Republikan telah mencipta sejarah apabila memenangi Pilihan Raya Presiden AS pada minggu lalu, sekali gus membolehkannya kembali menerajui negara Uncle Sam buat kali kedua.
Sehingga Sabtu lalu, Trump berjaya memenangi 301 undi elektoral untuk menang dalam pilihan raya tersebut.
Beliau berjaya mengalahkan pencabarnya daripada Parti Demokrat, Kamala Harris yang hanya mendapat 226 undi elektoral.
Di AS terdapat 538 kerusi elektoral dan untuk memenangi jawatan presiden, seseorang calon itu mesti memperoleh sekurang-kurangnya 270 undi.
Untuk makluman, Trump kali pertama dipilih sebagai Presiden AS pada 2016 selepas dia berjaya mengalahkan bekas setiausaha negara, Hillary Clinton.
Bagaimanapun, pada pilihan raya Presiden AS pada 2020, beliau kalah kepada calon Demokrat, Joe Biden.
Namun, dengan kemenangan terbaharu ini, Trump yang kini berusia 78 tahun akan menjadi Presiden AS ke-47.
Pada penggal akan datang, dia berjanji memulihkan AS yang kini berhadapan dengan pelbagai masalah.
“Ini adalah kemenangan politik yang tidak pernah kita lihat sebelum ini.
“Kita mencipta sejarah kerana kita teguh mengatasi setiap halangan. Tiada siapa sangka kita boleh mengharunginya.
“Kini jelas bahawa kita mencapai kejayaan yang paling luar biasa,” ujar Trump kepada penyokongnya di ibu pejabat kempen Republikan.
Kemenangan itu membolehkan Trump kembali semula ke Rumah Putih, sekali gus membolehkannya membentuk semula dasar luar AS ketika peperangan masih berlaku di Asia Barat dan Eropah.
Dalam pada itu, beberapa pemimpin dunia mengucapkan tahniah kepada Trump atas kemenangannya itu.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengucapkan tahniah kepada Trump selepas ‘pertempuran hebat’.
“Saya percaya, lebih banyak usaha akan diberikan untuk dunia yang lebih adil dalam era baharu ini, bermula dengan pilihan raya AS,” kata Erdogan dalam catatan di X sambil mengharapkan perang serantau akan segera berakhir.
Menurut pemerhati politik, kemenangan Trump dalam pilihan raya kali ini didorong oleh kejayaannya menyalahkan pentadbiran Biden-Harris sehingga menyebabkan lonjakan inflasi pasca pandemik Covid-19.
Kesan inflasi terhadap kos barangan harian meningkat dengan ketara. Harga barangan meningkat secara kumulatif sebanyak 20 peratus semasa Joe Biden memegang jawatan presiden.
Sebelum ini, pentadbiran Biden-Harris menyalahkan masalah bekalan selepas pandemik dan pencerobohan Russia ke atas Ukraine punca berlakunya lonjakan sementara inflasi.
Namun, kumpulan Trump memberi tumpuan kepada kesan inflasi ke atas kuasa perbelanjaan pengguna.
“Kejutan inflasi mendatangkan kesan berpanjangan.
“Ia mungkin mengecewakan orang ramai kerana kos barangan keperluan lebih besar dalam belanjawan isi rumah mereka,” kata ketua ekonomi di Oxford Economics, Bernard Yaros.

Sementara itu, Pakar Politik di Universiti Boston, AS, Tom Whalen memberitahu agensi berita, NBC10 Boston bahawa pilihan raya kali ini cukup seismik.
“Ini adalah salah satu kejutan terbesar dalam tempoh 20 tahun. Saya fikir Trump hanya boleh memenangi undi popular.
“Tiada lagi wakil Republikan yang melakukan kejutan seperti itu sejak bekas presiden, George W. Bush pada 2004.
“Jika anda melihat pada angka, mungkin ini merupakan trend baharu pada masa hadapan, anda tahu kemampuan presiden Republikan,” ujarnya.
Menurut Whalen, Trump dilihat berjaya memenangi majoriti undi Latin yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, dia percaya keputusan itu disebabkan faktor ekonomi kerana orang ramai sangat prihatin dengan masalah inflasi dan isu sempadan.
“Saya fikir ramai penganalisis melebih-lebihkan isu pengguguran kandungan, namun pada akhirnya orang ramai lebih tertumpu kepada masalah ekonomi,” katanya.
Jadi, di manakah silapnya kempen Kamala pada pilihan raya berkenaan?
Ujar Whalen, sukar untuk mengesan kesalahan yang dilakukan Kamala kerana ia melibatkan kempen selama 100 hari.
“Apabila anda melihat dari satu sudut, ia merupakan satu pencapaian yang luar biasa oleh Kamala untuk mencapai tahap ini memandangkan dia perlu bermula dari sifar.
“Bagaimanapun, Kamala nampaknya menghadapi masalah menjelang Oktober. Masalahnya, Trump mampu membuat kemunculan semula yang menakjubkan ketika menuju ke garisan penamat.
“Anda lihat, pengundi luar bandar keluar mengundi dalam jumlah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Trump dapat membina sokongan luar bandar yang kuat dan Demokrat tidak mempunyai undi pinggir bandar mencukupi untuk menentangnya,” ujarnya.
Malah, dalam kempennya, Trump kerap mengecam Biden-Kamala kerana menaikkan harga barangan harian dan beliau mempunyai pendekatan sendiri untuk menguruskan ekonomi terbesar di dunia itu.
“Saya menjanjikan cukai rendah, kos tenaga rendah, kadar faedah rendah, sempadan selamat, jenayah yang rendah dan melonjakkan pendapatan untuk rakyat.
“Rancangan saya akan ‘mengalahkan’ inflasi dengan pantas, menurunkan harga dengan cepat dan menghidupkan semula pertumbuhan ekonomi,” katanya Trump dalam satu ucapan pada September lalu.
Kritikan keras Trump terhadap rekod ekonomi di bawah Demokrat nampaknya membuahkan hasil.
Dalam tinjauan Fox News terhadap lebih 120,000 orang selepas pengundian berakhir, 87 peratus responden berkata, harga tinggi gas, barang runcit dan barangan lain telah menjadi faktor penting dalam keputusan mereka.
Sementara itu, dunia menunggu ‘janji manis’ Trump ketika berkempen terutamanya untuk menamatkan perang dan konflik yang berlaku.
Ketika berkempen, Trump mendesak supaya perang di Gaza (Palestin) berakhir dengan cepat.
Trump berjanji untuk membawa keamanan di Asia Barat dan membayangkan untuk menamatkan perang Israel-Hamas di Gaza dan konflik Israel-Hezbollah di Lubnan.
Ketika berkempen, Trump berulang kali mengatakan, Hamas tidak akan menyerang Israel kerana dasar tekanan maksimum AS terhadap Iran yang membiayai kumpulan itu.
Trump juga mempunyai hubungan yang kompleks dengan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Sebaliknya, dia mempunyai sejarah kerjasama kukuh dengan pemimpin di negara-negara Arab yang memiliki hubungan baik dengan Hamas.
Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana dia akan menguruskan keinginannya untuk menunjukkan sokongan padu kepada kepimpinan Israel dan pada masa sama menamatkan perang berdarah di rantau itu.
Begitu juga situasi perang antara Russia-Ukraine, Trump berulang kali mendakwa dia boleh menamatkan perang itu ‘dalam masa sehari’.
Ketika ditanya cara untuk mewujudkan perjanjian damai itu, beliau enggan menjelaskannya secara spesifik.














