POLIS Thailand menunjukkan lokasi penemuan pil kuda di sebuah bilik hotel di Sungai Golok, Na­rathiwat selepas menahan penyanyi dari Kelantan dan lima individu lain pada 1 November lalu.

Penyanyi sohor Kelantan, 5 individu bukan diperangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI GOLOK, THAILAND – “Bukti sudah cukup, tak perlu kami cari saksi. Cukup apabila kami jumpa pil kuda di dalam bilik hotel bersama enam orang yang ada di dalamnya. Mereka semua juga didapati positif dadah.”

Itu tegas Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berhubung penahanan reman seorang penyanyi wanita sohor Kelantan dan lima individu selama 84 hari ekoran penemuan 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel minggu lalu.

Jadsadavit berkata, penemuan kesemua pil kuda dan ujian saringan awal air kencing kesemua suspek berusia 25 hingga 34 tahun itu merupakan bukti yang paling kuat untuk menahan mereka dalam tempoh hampir tiga bulan.

“Serbuan dan tangkapan dijalankan mengikut prosedur tanpa mengira status suspek sama ada melibatkan individu popular atau orang biasa.

“Kita tak kenal mereka. Setiap kes disiasat secara adil tidak kira kesalahan dadah atau jenayah lain yang dilakukan di kawasan Sungai Golok,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Balai Polis Sungai Golok di sini kelmarin.

Ketika ditanya mengenai spekulasi kemungkinan suspek menjadi mangsa perangkap dua individu yang didakwa melarikan diri ketika serbuan itu, beliau berkata, siasatan pihak­nya tidak menunjukkan keha­diran dua individu terbabit.

“Polis hanya menjumpai tiga lelaki dan tiga wanita, semuanya rakyat Malaysia di dalam bilik itu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Jadsadavit memberitahu, penemuan 6,000 biji pil kuda bersama kesemua suspek dipercayai ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di Kelantan.

Katanya, jumlah dadah yang banyak itu tidak mungkin akan digunakan sendiri oleh kesemua suspek.

“Berdasarkan undang-undang baharu melibatkan dadah di Thailand, kuantiti dadah yang dirampas di dalam bilik itu juga menunjukkan suspek terbabit dalam kegiatan menjual bahan itu.

“Jika sebiji sahaja pil kuda ditemukan, mungkin mereka menghisap sendiri dadah tersebut. Apabila kuantiti­nya banyak dan berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh, ia berkemungkinan untuk dijual. Perkara itu termaktub dalam undang-undang di Thailand.

“Urusan jual beli dadah juga bukan hanya melibatkan wang. Walaupun diberi percuma, ia juga dikira terbabit dalam kegiatan jual beli dadah,” jelasnya.

Tambahnya, setakat ini, selain sampel urin suspek, keputusan forensik pil kuda yang dijumpai dan cap jari akan diperoleh kurang daripada sebulan selepas tangkapan suspek.

“Banyak pihak mengeluarkan pelbagai spekulasi tidak benar mengenai kes ini, tetapi ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

“Jadi, polis menahan mereka berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang penyanyi wanita antara enam individu ditahan polis Thailand bersama ribuan biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Na­rathiwat pada 1 November lalu.

Tiga lelaki dan tiga wanita termasuk penyanyi terbabit ditangkap kira-kira pukul 5 pagi dalam satu serbuan ketika mereka berehat di sebuah bilik hotel selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak bawah hotel tersebut.

Mereka masuk ke negara itu untuk berhibur sempena cuti perayaan Deepavali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN