TINJAUAN Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan bahawa lebih 29 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami gangguan kesihatan mental.
Masalah kemurungan dan kebimbangan mencatatkan kes kesihatan mental tertinggi dengan jumlah rakyat Malaysia terjejas adalah hampir 500,000 orang.
Biarpun kesedaran tentang kesihatan mental semakin meningkat, namun stigma dan sumber yang terhad terus menghalang pesakit daripada dirawat.
Pada tahun 2021, Malaysia dilaporkan memiliki kira-kira 500 doktor pakar psikiatri dengan nisbah seorang pakar psikiatri untuk lebih kurang 100,000 orang.
Bagi mengupas isu ini secara terperinci, wartawan Kosmo Ahad!, SITI SARAH NURUL LIYANA menemu bual Prof. Madya Dr. Haslina Muhamad daripada Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
KOSMO AHAD!: Mengikut rekod, kira-kira 29 peratus peratus orang dewasa di negara ini menghadapi masalah mental yang serius. Secara asasnya, apakah yang dimaksudkan dengan masalah mental serius? Adakah angka semasa ini menunjukkan kesihatan mental rakyat semakin parah?
Gangguan mental akan mengakibatkan kemerosotan fungsi harian yang ketara, mengganggu atau membatasi satu atau lebih aktiviti kehidupan utama manusia seperti makan, tidur dan lain-lain.
Keadaan ini memerlukan rawatan dan sokongan intensif.
Sementara itu, mengikut statistik, keadaan kesihatan mental rakyat Malaysia semakin membimbangkan.
Peningkatan statistik masalah mental ini juga boleh juga dikatakan kerana bertambahnya kesedaran terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.
Jadi, lebih ramai yang tampil mendapatkan rawatan untuk masalah mental.
Apakah yang membezakan seseorang itu mengalami masalah kesihatan mental atau sekadar tekanan biasa? Bagaimana pula istilah-istilah kesihatan mental disalahgunakan?
Masalah mental (mental illness) merangkumi banyak jenis, contohnya tekanan (stress), kebimbangan (anxiety) dan kemurungan (depression). Ini tiga keadaan mental yang berbeza tetapi saling berkaitan.
Sebab itu istilah-istilah ini mudah disalahgunakan.
Walaupun ketiga-tiga keadaan ini berbeza, mereka boleh saling mempengaruhi.
Sebagai contoh, tekanan berpanjangan boleh membawa kepada kebimbangan tidak terkawal sehingga boleh meningkatkan risiko kemurungan.
Yang membezakan seseorang mengalami masalah kesihatan mental serius dengan stres biasa adalah sejauh mana ia mengganggu fungsi kehidupan seharian.
Sebagai contoh, sekiranya individu tersebut merupakan seorang pelajar, dia tidak dapat lagi menjalankan fungsi sebagai seorang pelajar seperti pergi ke kelas dan menyiapkan tugasan.
Kalau seorang suri rumah pula, dia tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah disebabkan oleh stres.
Jika keadaan begini berlaku, boleh dikatakan individu tersebut menghadapi masalah kesihatan mental. Tetapi jika stres itu tidak mengganggu fungsi sebagai seorang, maka itu adalah stres biasa yang dialami oleh kebanyakan individu.
Secara asasnya, apakah faktor utama yang mendorong kepada masalah mental? Ada pihak yang mengatakan ia juga boleh berlaku disebabkan faktor genetik atau keturunan.
Ada banyak faktor yang mendorong kepada masalah mental. Kebanyakan pakar kesihatan mental berpendapat bahawa tiada satu faktor tunggal yang menyebabkan gangguan mental.
Sebaliknya, interaksi antara pelbagai faktor (faktor genetik dan persekitaran) yang memainkan peranan dalam perkembangan masalah kesihatan mental.
Contohnya, jika seseorang itu berhadapan dengan masalah persekitaran (kematian orang tersayang, perceraian, atau kehilangan pekerjaan) ditambah dengan kecenderungan genetik (ada sejarah keluarga mengalami sakit mental), maka individu ini akan lebih cenderung mendapat masalah mental.
Kebanyakan orang kita terutamanya masyarakat Melayu sukar menerima hakikat bahawa individu terdekat dalam keluarga menghadapi masalah mental atau gila. Sebaliknya, mereka lebih percaya pesakit hanya diganggu mistik. Apakah cara yang boleh dilakukan bagi mengubah kepercayaan karut seperti itu?
Ini kerana, masyarakat kita takut kepada stigma ‘gila’ tersebut. Untuk ubah kepercayaan ini, kita perlu adakan program pendidikan dan kesedaran awam bagi menjelaskan perbezaan antara gangguan mental dan gangguan mistik.
Kita juga perlu menekankan bahawa penyakit mental adalah keadaan perubatan yang memerlukan rawatan profesional.
Kita juga boleh menggunakan televisyen, radio dan media sosial untuk menyebarkan maklumat yang tepat mengenai kesihatan mental serta menghapuskan mitos yang berkaitan.
Akhir sekali adalah pengurangan stigma. Kita perlu promosikan kisah individu yang telah pulih daripada gangguan mental melalui rawatan perubatan untuk menunjukkan bahawa pemulihan adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk penyakit mental.
Bagaimana seseorang itu boleh membezakan sama ada dia memerlukan khidmat ahli psikologi, psikiatri atau kaunselor?
Jika penyakit mental serius yang perlukan ubat, seseorang itu perlu berjumpa dengan pakar psikiatri kerana hanya psikiatri boleh memberikan ubat preskripsi kepada pesakit yang memerlukannya.
Jika penyakit mental boleh dirawat dengan menggunakan kaedah psikoterapi, mereka boleh berjumpa dengan ahli psikologi ataupun kaunselor.
Salah satu penyakit mental psikotik adalah skizofrenia, di mana pesakitnya sering bercakap bersendirian. Boleh puan ulas mengenai penyakit ini dan faktor ia berlaku?
Skizofrenia adalah gangguan mental serius yang mempengaruhi emosi seseorang, cara berfikir, dan kelakuan mereka. Biasanya, mereka yang menghidap skizofrenia akan mengalami kesulitan untuk membezakan antara realiti dan khayalan (dikenali sebagai masalah psikotik).
Ini boleh menyebabkan halusinasi (seperti mendengar suara yang tidak wujud), delusi (kepercayaan yang salah atau tidak berasas), pemikiran tidak teratur dan perubahan tingkah laku.
Gejala-gejala ini boleh mengganggu fungsi harian termasuk hubungan sosial, pekerjaan dan penjagaan diri.
Punca skizofrenia belum diketahui secara pasti, tetapi boleh disebabkan beberapa faktor.
Faktor pertama adalah genetik (individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan skizofrenia berisiko lebih tinggi untuk menghidapnya).
Kemudian, faktor ketidakseimbangan bahan kimia dalam otak (ketidakseimbangan neurotransmitter seperti dopamin dan serotonin dalam otak). Paras dopamin yang tinggi boleh menyebabkan gejala psikosis pada pesakit.
Faktor seterusnya adalah persekitaran seperti tekanan hidup, penyalahgunaan dadah memainkan peranan dalam perkembangan gangguan ini.

Pesakit skizofrenia berpotensi mencedera atau membahayakan diri sendiri dan orang sekeliling kerana mendengar bisikan-bisikan negatif yang dikatakan hantu. Mengapakah pesakit berkenaan boleh mendengar bisikan-bisikan ke arah perbuatan berkenaan?
Salah satu punca pesakit boleh mendengar bisikan-bisikan (halusinasi) kerana ketidakseimbangan bahan-bahan kimia dalam otak seperti dopamin yang menyebabkan gejala psikosis seperti halusinasi.
Stres tidak secara langsung menyebabkan halusinasi pada pesakit skizofrenia kerana boleh mencetuskan atau memburukan gejala halusinasi.
Individu dengan skizofrenia mungkin lebih sensitif terhadap stres.
Apakah kaedah rawatan yang diperlukan bagi menyembuhkan pesakit mental, sekali gus memastikan ketenteraman awam terjamin?
Bergantung kepada tahap keseriusan sakit mental tersebut. Jika tidak serius, mungkin boleh melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam, sokongan sosial daripada ahli keluarga, kawan-kawan dan tidur yang cukup.
Jika tahap serius, pesakit mesti berjumpa dengan ahli profesional seperti psikiatri, kaunselor, ahli psikologi atau terapis.
Ini kerana pesakit perlu makan ubat seperti antipsikotik, antidepresan, atau penstabil mood. Ubat-ubatan ini boleh membantu menyeimbangkan tahap neurotransmitter seperti dopamine dalam otak.
Mereka juga perlu diberikan terapi psikososial seperti Psikoterapi Individu, Terapi Kognitif Tingkah Laku (CBT) dan Program Pemulihan Psikososial (membantu pesakit mengembangkan kemahiran sosial serta pekerjaan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka).
Pesakit juga boleh dimasukkan ke hospital psikiatri jika mereka menunjukkan gejala yang teruk atau berisiko mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Ada juga laporan sebelum ini mengatakan, kebanyakan pesakit mental tidak boleh tinggal makan ubat sepanjang hidupnya kerana bimbang kembali menjadi gila. Adakah ini benar?
Ini bergantung kepada jenis sakit mental tersebut. Jika skizofrenia (yang biasanya disebabkan oleh ketidakseimbangan neurotransmitter dalam otak), pesakit perlu makan ubat sepanjang hidup untuk seimbangkan tahap dopamine dalam otak.
Apabila tidak makan ubat, dopamine akan menjadi tidak seimbang balik, sekali gus menyebabkan pesakit akan mengalami semula halusinasi.
Namun jika kemurungan atau tekanan, mungkin apabila keadaan sudah stabil, pesakit boleh berhenti untuk makan ubat. Mungkin cukup jika pesakit diberikan rawatan terapi sahaja.














