KOTA BHARU – Polis akan terus melakukan ujian air kencing secara mengejut di pintu sempadan Kelantan-Thailand bagi mengesan rakyat Malaysia yang terlibat dengan dadah ketika berhibur di negara Gajah Putih itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ujian itu diadakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Katanya, pemeriksaan dan ujian itu juga telah dibuat dari semasa ke semasa sebelum ini.
“Kita tidak akan memberi sebarang makluman dan dilakukan secara mengejut kepada mereka yang balik ke sini.
“Tetapi menjadi masalah kerana kebanyakan mereka sama ada lelaki atau perempuan guna laluan tikus,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu anak muda Kelantan terlalu ramai ke Thailand untuk berhibur.
Menurut Mohd. Yusoff, perbuatan itu sukar dihalang kerana mereka meletakkan kenderaan di Rantau Panjang sebelum menyeberangi Sungai Golok.
“Orang muda Kelantan berpusu-pusu berhibur di kelab malam Thailand pada malam Jumaat dan Sabtu,” katanya.














