BEBERAPA minggu lalu, tular tentang seorang lelaki berusia 61 tahun, dengan tubuh gagah perkasa yang berjaya menamatkan acara triatlon terkenal, Ironman Malaysia dalam tempoh kurang 16 jam.
Pada usia yang sudah pun memasuki 6 series, pencapaian Tajudin Mustaffa dari Johor Bahru, Johor itu mengagumkan ramai, memandangkan rata-rata mereka yang menyertai acara tersebut jauh lebih muda daripadanya.
Ia merupakan pencapaian terbesar diraih Tajudin, selepas gagal empat kali dalam penyertaan terdahulunya di Ironman Malaysia sejak tahun 2009.
Datuk kepada seorang cucu itu berjaya menamatkan acara dalam masa 15 jam 54 minit 23 saat sekali gus berjaya melayakkannya bergelar Ironman.
Ironman Malaysia yang diadakan di Langkawi, Kedah pada Oktober lalu merupakan acara triatlon terbesar dan paling ditunggu-tunggu ramai.
Triathlon itu ialah salah satu daripada siri perlumbaan triatlon jarak jauh yang dianjurkan oleh World Triathlon Corporation (WTC) terdiri daripada tiga disiplin sukan iaitu berenang sejauh 3.9 kilometer, berbasikal sejauh 180.2 kilometer dan maraton sejauh 42.2 kilometer.
Kebanyakan acara Ironman mempunyai had masa 16 atau 17 jam untuk melengkapkan perlumbaan.
“Bentuk badannya menggambarkan gaya hidupnya ketika muda. Saya fikir dia mungkin seorang bekas tentera,” demikian komen seorang netizen di TikTok yang kagum melihat bentuk badan Tajudin yang cukup fit (tegap) itu.
Begitu pun, anak lelaki Tajudin yang juga menjadi individu di sebalik video bapanya yang tular memaklumkan bapanya bukanlah bekas tentera seperti yang disangka, sebaliknya Tajudin adalah seorang pesara bank yang cukup mementingkan kesihatan.
Tubuh fit itu bukan sesuatu yang dicapai dalam tempoh yang singkat kerana sejak muda, Tajudin sudah pun mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan kerap bersenam.
Berkongsi dengan K2, Tajudin memberitahu, minat terhadap aktiviti kecergasan dan senaman bermula sejak dia berada di bangku sekolah, bahkan Tajudin juga pernah menanam cita-cita untuk bergelar seorang atlet.
“Kalau diikutkan, cita-cita saya satu masa dahulu adalah untuk menjadi seorang atlet, namun saya tidak mempunyai kelayakan yang cukup.
“Untuk larian maraton pula, saya memulakannya semasa berusia 21 tahun dan biarpun selepas berkahwin beberapa tahun kemudian, saya masih juga aktif dalam aktiviti maraton sehinggalah hari ini,” katanya.

Apabila menginjak usia 40-an, Tajudin mula belajar berenang dan ketika itu juga, rakan-rakannya mula mengajak Tajudin untuk menyertai acara triatlon, memandangkan antara syarat utama untuk sukan itu adalah peserta perlu tahu berenang.
Penyertaan pertama Tajudin dalam sukan Ironman adalah pada tahun 2009. Begitu pun, oleh sebab-sebab tertentu, dia tidak menamatkan acara tersebut dan kembali menyertai acara itu buat kali kedua pada 2018.
“Pada 2018, saya berjaya menamatkan acara, namun lebih dua minit daripada masa yang ditetapkan iaitu 17 jam.
“2019 adalah percubaan ketiga saya, namun saya tidak habiskan acara kerana kecederaan. Kali keempat adalah tahun lalu, namun sekali lagi saya tidak berjaya menamatkan acara selepas menghadapi masalah ketika larian,” ujarnya.
Biarpun gagal sehingga empat kali, Tajudin sedikit pun tidak berputus asa dan masih terus berusaha.
“Setiap kali gagal menamatkan acara, saya akan kaji semula puncanya dan dari situ, saya perbaiki setiap kekurangan.
“Sebelum ini, saya akui tidak begitu mahir mengawal stamina, memandangkan acara ini membabitkan tiga aktiviti iaitu berenang, berbasikal dan juga lari marathon,” katanya.
Menyentuh mengenai tubuh badannya yang tegap di usia tua, Tajudin berkata, dia menjaga badan dengan gemar melakukan brisk walking, joging dan berenang selain mengangkat beban.
Baginya, bukan kecantikan badan yang didamba, sebaliknya kesihatan dan kecergasan, supaya jika tubuh cedera, cepat untuk pulih.
Lebih menarik, Tajudin turut berkongsi rahsia dia berjaya mengekalkan stamina adalah dengan makan nasi impit bersama ikan masin.

Ditanya tentang menu istimewa itu, Tajudin memberitahu bahawa sebelum ini, dia telah mencuba pelbagai jenis makanan seperti coklat atau energy bar, namun akhirnya mendapati nasi impit adalah pilihan yang terbaik buatnya.
“Menu nasi impit ini sebenarnya saya dapat tahu daripada seorang rakan iaitu Ridwan Mustafa yang turut makan makanan itu bagi memberikannya tenaga.
“Saya pun tertarik mencubanya dan mendapati kombinasi nasi impit itu bersama ikan masin yang menjadi sumber sodium untuk tubuh cukup berkesan dalam memberikan saya tenaga berterusan untuk menamatkan acara.
“Dalam pertandingan, saya akan menyimpan nasi impit di dalam poket seluar dan akan menghabiskannya dalam tempoh tujuh jam.
“Jika tak makan (nasi impit bersama ikan masin), badan saya rasa lesu. Rasanya pun sedap,” kata Tajudin.
Terharu apabila ramai mengagumi staminanya pada usia emas, Tajudin berkata, sesiapa pun boleh mula bersenam.
“Bagi saya, tidak kisah berapa pun usia anda, anda boleh mula menjaga kesihatan. Namun, apabila melibatkan senaman, perlu berwaspada dan mulakan dengan aktiviti seperti aerobik dan kardio,” katanya.














