KEMAMAN – Seorang wanita sarat hamil 37 minggu nekad mengharung banjir lebih semeter untuk mengambil barang keperluan bayinya di Bandar Baru Bukit Mentok di sini hari ini.
Begitupun, sebaik tiba di rumah yang masih digenangi banjir, Hafifa Shafira Hamedi Zaidi, 33, sedih kerana banyak barang keperluan bayi ketiganya yang dijadual lahir dua minggu lagi telah rosak.
“Pada mulanya suami, Saiful Amri Mohd Zaid, 34, halang saya untuk meredah banjir tetapi saya nekad mahu juga mengikutnya untuk melihat rumah selepas beberapa hari duduk di pusat pemindahan banjir.
“Sebaik tiba di rumah, tidak banyak barangan termasuk keperluan bayi yang dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu dia dan ahli keluarganya termasuk dua anak kecilnya sedang meredah banjir diselamatkan pasukan bomba yang sedang melakukan pemantauan di lokasi berkenaan.
Hafifa Shafira berkata, ini kali pertama rumahnya mengalami banjir setelah lima tahun berpindah di Bandar Baru Bukit Mentok.
Ujarnya, dia agak terkilan kerana barangan keperluan bayi termasuk pakaian sudah diletakkan di tempat tinggi kerana masih ditenggelami banjir. – K! ONLINE













