SAUDARA PENGARANG,
Kes kapten Bangladesh yang mengurung, memukul dan menjadikan sekumpulan tujuh wanita Vietnam sebagai pelacur di sebuah rumah di Klang, Selangor menunjukkan kepada kita bahawa warga asing semakin naik tocang.
Bukan itu sahaja, mereka sudah mencapai tahap di mana menjadi sindiket untuk mencetak pasport palsu dan menjadi tekong penyeludupan manusia untuk dijadikan tenaga kerja secara haram.
Satu yang dapat disimpulkan ialah mereka berani bertindak demikian kerana sudah terlalu lama berada di sini hingga tahu di mana ‘lubang-lubang’ yang boleh diambil peluang.
Apabila difikirkan, banyak juga kes melibatkan warga asing yang seolah-olah mencabar pihak berkuasa dengan melakukan jenayah dan kesalahan padahal pada asalnya mereka datang ke sini untuk mencari rezeki.
Kita tidak lupa kes lelaki Rohingya, Long Tiger yang menjadi samseng apabila melarikan diri ketika dalam jagaan polis untuk dibawa ke mahkamah di Tangkak, Johor sebelum dia ditangkap semasa bersembunyi di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah.
Penguat kuasa perlu memainkan peranan dengan lebih ketat supaya orang seperti Long Tiger dan kapten Bangladesh ini tidak ‘lahir’ lagi di bumi bertuah ini.
Ketika kita dibebankan dengan pelbagai cukai dan kos sara hidup tinggi, mereka dengan senang lenang memakan hasil mengaut untung dengan menjalankan kerja haram.
Anti rasuah
Lembah Keramat, Kuala Lumpur














