SEKITAR 10 tahun lalu, wanita Sabah cantik kacukan Kadazan-Dusun dan India ini pernah bertugas di awan biru sebagai kru kabin sebuah syarikat penerbangan negara.
Tidak sekadar puas ‘melancong’ melihat negara orang lain, pelbagai ilmu juga ditimba Letchumi Sandraj sepanjang hampir lima tahun berkhidmat.
Kala itu, usianya baru mencecah 21 tahun dan menjadi kru kabin sebenarnya bukanlah pilihan kerjayanya.
Bagaimanapun, pada tahun 2020 ketika dirinya berusia 28 tahun impian sebenarnya untuk bergelar seorang pembaca berita tercapai. Ketika itu dia berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah.
Kini bermula tahun 2022, namanya semakin bersinar dalam lapangan penyampaian berita apabila berkhidmat di ibu kota.

Mengimbas perjalanan kerjayanya, Letchumi, 32, berkata, menjadi pramugari tetap memberikannya pengalaman yang bermakna.
“Di situlah perjalanan kehidupan saya bermula. Menjadi kru kabin di usia yang muda, saya sangat teruja sebab dapat mengelilingi semua negara Asia dan separuh daripada Eropah, tetapi ini bukan cita-cita yang saya pernah impikan,” katanya sambil tertawa kepada Aura.
Menurut pemegang Diploma Kejuruteraan Awam ini, dia tidak pernah terfikir untuk pergi ke temu duga pramugari, namun hasil paksaan dan ajakan kawan-kawan, dia akur.
Akuinya, kejayaannya sampai ke tahap empat sesi temu duga dan akhirnya terpilih sebagai pramugari saat pertama kali hadir bagaikan tuah buatnya.
“Menjadi pramugari adalah ‘jackpot’ bagi saya dan tidak pernah terfikir pun akan lari bidang daripada apa yang saya cita-citakan atau belajar.
“Sejak kecil lagi, antara yang memang menjadi cita-cita saya ialah menjadi seorang renjer hutan dan pembaca berita, tetapi rezeki sudah terarah kepada kru kabin, jadi saya teruskan sahaja,” katanya yang juga pernah menyertai pertandingan ratu cantik Pesta Kaamatan pada tahun 2013 dan berjaya dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Sandakan.

Katanya, hampir lima tahun bertugas sebagai pramugari dan puas berjalan ke merata negara dia cuba berubah angin dengan melakukan sesuatu yang baharu secara sambilan.
“Sepanjang bertugas, saya berhasil mengumpul sejumlah wang untuk membuka perniagaan sendiri.
“Hasil daripada menjelajah di banyak negara dan merasa semua jenis makanan di dunia membuatkan hati terdetik untuk membuka sebuah restoran di Sabah dengan konsep berbeza.
“Jadi, saya nekad untuk buka restoran yang dinamakan Gerabak88 sambil bertugas di awan biru. Apabila saya lihat restoran tersebut mampu menarik perhatian pelanggan dan disambut baik, saya nekad untuk berhenti kerana rasa sudah penat berulang-alik dan buat dua kerja dalam satu masa,” katanya.
Beberapa tahun beroperasi, Letchumi mengakui ada beberapa perkara terjadi hingga menyebabkan dia nekad ‘melepaskan’ restoran tersebut apatah lagi ketika itu negara baru dilanda Covid-19.
Jelasnya, selepas menutup operasi restoran, dia menyertai radio Era FM Sabah sebagai finalis penyampai radio dan terlibat dalam pengacaraan beberapa program atau majlis.
Kemudian, melihatkan bakat yang dimilikinya dalam pengacaraan, dia ditawarkan menjadi penyampai berita di RTM Sabah selain terlibat dalam pengacaraan bagi acara-acara kerajaan dan sukan.
“Sewaktu kecil, saya teringat sering melihat pengacara di televisyen dan pembaca berita.
“Sejak itu jugalah saya akan selalu berlakon di hadapan cermin untuk membaca berita dan mengacara.
“Boleh dikatakan, saya ini seorang yang berani untuk mencuba dan tak pernah serik. Di mana ada ada uji bakat mengacara atau menyampai berita, saya akan usaha untuk datang dan cuba nasib,” ujarnya.
Berkongsi cabaran sebagai penyampai berita dan pengacara, Letchumi mengakui sering berdepan masalah dari segi slang atau loghat Sabah yang begitu pekat dalam dirinya.
Beritahunya, untuk menempatkan diri di RTM Kuala Lumpur, dia perlu menukar atau mengurangkan pelat Sabah dan itu antara cabaran terbesar.
“Inilah antara cabaran yang selalu saya terpaksa lalui. Sewaktu menjadi kru kabin dulu, kami menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantara dan walaupun sudah lama berada di ibu kota, saya akui tidak pernah bercakap dalam loghat bandar.
“Jadi, bila masuk ke bidang penyiaran, rata-rata pihak atasan dan syarikat akan minta saya untuk mengurangkan slang Sabah atau sebutan itu,” katanya yang juga pernah dinobatkan sebagai Miss Malaysia Model Thru Charity pada 2013.
Ditanya mengenai perancangan lima ke 10 tahun akan datang, Letchumi mengakui jauh di sudut hatinya masih ingin mengusahakan perniagaan sendiri.
“Menu-menu makanan dan minuman yang saya cipta sendiri rasanya masih menjadi rahsia kepada semua dan kalau masih berkesempatan atau ada rezeki akan saya usahakan kembali.
“Pada masa sama, bagi kerjaya sebagai personaliti televisyen pula, saya mengharapkan mampu menjadi penyampai berita dan pengacara yang hebat serta versatil.
“Ketika ini juga saya sedang dalam proses menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan ia jauh lari daripada Diploma Kejuruteraan Awam dimiliki sebelum ini,” ujarnya.
Berdarah kacukan unik iaitu India daripada sebelah bapa yang berasal dari Perlis dan Kadazan-Dusun sebelah ibu, Letchumi berbangga kerana dirinya berpeluang meraikan banyak perayaan.
Ditanya mengenai persiapan perayaan Deepavali tahun ini, Letchumi memberitahu, dia suka membuat persiapan di saat akhir termasuk membeli baju kerana ketika itu harga jadi murah.
Ujarnya, untuk tahun ini dia akan bercuti dua hari sahaja dan terpaksa bersiaran selama setengah jam pada hari Deepavali.
“Kalau ditanya mengenai juadah wajib Deepavali sudah semestinya tawa rasam idli dan kuih rawa urundai.
“Memang sangat sedap dan inilah kegemaran sejak kecil. Juadah dan lauk-pauk memang kami akan masak bersama secara beramai-ramai.
“Setiap kali Deepavali saya tidak boleh melupakan kehilangan tiga orang insan tersayang menjelang perayaan itu iaitu bapa pada tahun 2019, ibu saudara (2021) dan diikuti bapa saudara setahun selepas itu.
“Saya sentiasa berdoa mereka bertiga tenang di sana,” katanya akhiri bicara.














