LEDAKAN teknologi yang semakin pantas setiap hari menyaksikan manusia dihidangkan dengan pelbagai kemudahan untuk kehidupan seharian termasuk pengenalan aplikasi baharu yang dikenali sebagai ChatGPT.
ChatGPT atau Chat Generative Pre-Trained Transformer adalah teknologi kepintaran manusia atau dikenali sebagai Artificial Intelligence (AI) yang diperkenalkan firma OpenAI yang berpangkalan di San Francisco, California pada 30 November tahun lepas yang turut dimiliki oleh salah seorang manusia terkaya dunia, Elon Musk.
Sistem bot sembang ini bukanlah suatu yang baru, namun ChatGPT memberikan dimensi dan variasi yang berbeza, malah dunia sukan juga tidak terlepas daripada menggunakan ‘khidmatnya’ apabila beberapa ramalan sudah pun dibuat terutama dalam dunia bola sepak.
Dalam dunia bola sepak, Piala Dunia yang berlangsung setiap empat tahun sekali itu adalah kejohanan yang dianggap terulung dan paling berprestij dalam menghasilkan legenda dunia dan
ChatGPT dilapor sudah memulakan tugasnya dengan membuat ramalan mengenai negara-negara yang akan muncul sebagai juara dalam 10 edisi penganjuran selepas ini.
Piala Dunia 2022 di Qatar lalu menyaksikan perlawanan akhir antara Argentina dan Perancis berakhir dengan keputusan 3-3 sebelum La Albiceleste merangkul kejuaraan menerusi tendangan penalti dan ChatGPT menerusi cantuman info dan algoritma sekali lagi meramalkan bahawa pasukan itu sekali lagi bakal muncul juara untuk edisi 2026.
Bagaimanapun, Argentina tidak mampu untuk memasang impian meraih gelaran hatrik apabila seteru utama mereka dari Amerika Selatan, Brazil akan menambah gelaran kejuaraan keenam mereka empat tahun selepas itu.
Edisi berikutnya pada 2034 akan menyaksikan Perancis melengkapkan gelaran ketiga mereka susulan kemenangan pada 1998 dan 2018 sebelum Jerman menambah gelaran mereka buat kali kelima pada penganjuran 2038.
Penganjuran edisi 2042 sekiranya tidak ada aral melintang pastinya menggembirakan ramai pihak terutama peminat Liga Perdana Inggeris di negara kita apabila England dijangka mampu meraih kejuaraan pada kejohanan tersebut di lokasi yang masih belum diputuskan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sekiranya ramalan itu benar-benar menjadi kenyataan, ia bakal menamatkan penantian panjang selama 80 tahun para penyokong The Three Lions selepas kali terakhir mereka memenangi pada 1966.
ChatGPT juga meramalkan bahawa naib juara tiga kali Piala Dunia, Belanda akhirnya bakal menikmati kemenangan pertama mereka pada edisi 2050 dan Itali bakal menamatkan penantian selama 48 tahun untuk merangkul gelaran kelima mereka selepas kali terakhir muncul juara pada 2006 dengan memenangi edisi 2054.
Aplikasi AI tersebut juga turut melakar kejutan apabila meramalkan Nigeria akan menjadi negara Afrika pertama yang memenangi trofi bola sepak paling berprestij tersebut pada penganjuran empat tahun selepas itu sebelum Argentina kembali menguasainya pada edisi 2062.
Bagaimanapun, memandangkan ia sekadar ramalan, maka tidaklah wajib untuk anda semua mempercayainya.














