fbpx
SEEKOR daripada tiga ekor arapaima gergasi yang berukuran 1.7 meter panjang dan seberat 200 kilogram.

Arapaima gergasi libas staf perikanan sudah mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tiga ekor ikan arapaima gergasi yang ‘melibas’ lima staf Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) hingga cedera ketika ditangkap di Masjid Tanah, Melaka semalam dilaporkan sudah mati.

Sejurus ditangkap DOF kira-kira 4.30 petang semalam, tiga ekor spesies invasif tersebut yang melebihi berat 200 kilogram (kg) setiap seekor telah dihantar ke Zoo Negara.

ROSLY

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia, Datuk Rosly @ Rahmat Ahmat Lana, kematian ikan-ikan tersebut berlaku dalam tempoh kurang dari 24 jam selepas ditangkap.

“Seekor ikan Arapaima pertama dilaporkan mati pada malam semalam semasa dalam perjalanan ke Zoo Negara.

“Dua ekor lagi ditemui dalam keadaan lemah dan dipindahkan ke kolam utama pada pagi hari ini. Malangnya, kedua-duanya mati secara serentak kira-kira pukul 11:30 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Terdahulu, lima anggota DOF Me­laka mengalami sesak nafas, bengkak di lutut dan cedera di dada akibat terkena libasan kepala ikan tersebut.

Kesemua anggota tersebut berusia antara 35 hingga 59 tahun itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Alor Gajah bagi mendapat rawatan lanjut.

Menurut beliau, ikan-ikan tersebut mempunyai berat antara 200 hingga 300 kilogram dan panjang kira-kira 1.7 meter.

“Bedah siasat terhadap bangkai ikan arapaima tersebut akan dijalankan oleh DOF Melaka.

“Mereka (DOF) akan mengambil semula bangkai ikan tersebut untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kematian,” katanya.

OPERASI menangkap dan memindahkan spesies ikan arapaima di sebuah bangunan di Masjid Tanah, Melaka semalam.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, Zoo Negara sebelum ini pernah membela sembilan ekor ikan arapaima, namun beberapa ekor telah mati akibat faktor usia dan kini hanya tinggal enam ekor yang masih hidup.

“Ikan Arapaima berasal dari lembangan Sungai Amazon di Amerika Selatan dan mampu membesar lebih daripada 200 kilogram. Dengan selera makan yang besar, mereka dapat membesar dengan cepat.

“Ikan ini terkenal sebagai spesies karnivor dan boleh mengancam populasi ikan tempatan di habitat air tawar Malaysia,” katanya.

Jelas beliau, di Malaysia, ikan ini dikenali sebagai predator yang menghuni hampir semua badan air tawar dan keberadaannya boleh mengganggu ekosistem, sehingga menyebabkan ikan lokal berisiko pupus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN