JOHOR BAHRU – Rata-rata rakyat di negeri ini menyambut baik penyelarasan semula cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula Januari tahun depan.
Seorang guru, Mohd. Hafiz Ismail, 32, berkata, penyelarasan cuti itu memudahkan urusan keluarganya termasuk mengatur masa bersama keluarga pada hujung minggu.
Katanya, kesukaran dirasai sebelum ini apabila waktu hari bekerja adalah berbeza dengan pasangan atau ahli keluarga di negeri-negeri lain yang bercuti pada Sabtu dan Ahad,.
Seorang peniaga, Dr. Gary Ko, 53, pula berkata, penyelarasan cuti itu juga mampu melancarkan urusan orang ramai.
Menurutnya, ia merupakan satu langkah yang tepat untuk memastikan Johor terus maju.
“Saya sokong langkah kerajaan negeri dan yakin keputusan ini dilakukan kerana ia mampu memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat serta negeri ini,” ujarnya.
Seorang suri rumah, Abrizah Abu Bakar, 60, berkata, cuti hujung minggu kakitangan kerajaan dan swasta yang diselaraskan di negeri ini akan memudahkan pergerakan serta aktiviti kekeluargaan.
Menurutnya, ia berikutan cuti yang berbeza antara anak yang bersekolah di negeri lain dengan cuti ibu bapa sedikit menyukarkan perancangan untuk meluangkan masa bersama pada hujung minggu.
“Mungkin selepas ini lebih mudah bagi kami merancang aktiviti pada hujung minggu supaya menjalani gaya hidup lebih sihat dan berkualiti,” ujarnya.
Pengerusi Persatuan peniaga India Johor (JIBA), P. Siva Kumar berkata, penyelarasan cuti hujung minggu itu langkah yang bijak bagi melancarkan operasi perniagaan di negeri ini.
Menurutnya, penyelarasan cuti ini juga penting buat kerajaan negeri dalam usaha membawa pelabur masuk ke negeri ini menerusi inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City.
“Usaha menyelaraskan cuti hujung minggu ini mampu memanfaatkan pelbagai pihak dan memberi manfaat kepada pemain industri setelah masa operasi diselaraskan.
“Saya yakin ia juga memudahkan urusan terutama membabitkan syarikat yang berurusan agensi kerajaan dan swasta,” katanya.
Penyelarasan semula cuti hujung minggu Johor pada hari Sabtu dan Ahad mulai tahun depan akan memberi impak terhadap 2.5 juta individu di negeri berkenaan.
Penyelarasan semula ini akan membabitkan semua Bangsa Johor terutamanya 587,343 pelajar dan 1.948 juta tenaga kerja di Johor yang majoriti mereka daripada sektor kerajaan dan swasta.














