JERANTUT – Hasrat seorang peneroka untuk menikmati hasil jualan pisang sebanyak RM20,000 musnah sekelip mata selepas tanaman yang diusahakannya di Felda Kota Gelanggi Dua di sini, dimusnahkan kawanan gajah sejak malam kelmarin.
Shafie Ripin, 72, berkata, dalam kejadian dua malam berturut-turut itu, 50 batang pokok pisang jenis berangan, tanduk, siam dan nangka musnah angkara haiwan tersebut.
“Kira-kira 10 ekor gajah menceroboh kawasan tanaman ini dari malam hingga ke pagi. Kejadian sama berulang lagi apabila haiwan sama masuk semula ke kebun saya kelmarin (semalam).
“Sebanyak 35 batang pokok pisang termasuk benih baru ‘dikerjakan’ gajah liar ini,” katanya ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi Dua semalam.
Warga emas itu berkata, tanaman pisang yang diusahakan awal tahun lalu sudah mengeluarkan hasil pertama, manakala yang kedua sedia dikutip penghujung bulan ini.
“Saya menjangkakan hasil kedua mencecah RM20,000, namun malangnya ia dimusnahkan kawanan gajah liar,” katanya.
Menurut Shafie, gajah itu yang bersembunyi di hutan Sungai Kijeng berdekatan Felda tersebut pada awalnya menceroboh kebun pengusaha lain yang terletak 200 meter dan merosakkan pokok pisang muda.
“Saya mengusahakan tanaman pisang dan musang king sejak tiga tahun lalu untuk mencari pendapatan sampingan kerana sawit kurang mengeluarkan hasil sebab pokok sudah tua,” katanya.
Tambah Shafie, gajah liar itu memusnahkan pagar dawai di kebunnya sebelum mencari umbut dan pisang masak selain meninggalkan banyak najis.
“Ekoran kejadian ini, saya sudah serik untuk mengusahakan tanaman pisang dan mahu menumpukan penjagaan musang king yang dijangka berbuah dua tahun lagi.
“Mujur 50 batang pokok musang king berusia tiga tahun tidak dirosakkan gajah, namun saya juga bimbang keadaan sama akan berlaku sekiranya haiwan liar tersebut datang menceroboh semula,” ujarnya.














