KEBELAKANGAN ini kes-kes orang hilang yang akhirnya ditemui dalam keadaan tidak bernyawa kerap dilaporkan.
Tahun ini sahaja, negara digemparkan dengan berita mengenai kehilangan seorang bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris, Nur Farah Kartini Abdullah yang akhirnya ditemukan mati di sebuah ladang sawit.
Belum lagi reda mengenai tragedi itu, kita didedahkan pula mengenai identiti mayat yang dijumpai dalam keadaan mengerikan di Melaka.
Mayat itu rupa-rupanya ialah jasad guru yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini iaitu Istiqomah Ahmad Rozi atau dikenali sebagai Cikgu Istiqomah.
Terbaharu, sekali lagi negara gempar mengenai berita kehilangan pesara Felcra, Sabari Baharom di Kedah yang mana akhirnya mangsa disahkan telah dicampak hidup-hidup ke dalam sungai.
Kejadian tragis ini menimbulkan persoalan tentang apa sudah berlaku dengan pertimbangan manusia sehingga sanggup melakukan pembunuhan yang amat kejam.
Penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kes-kes jenayah yang berlaku kebelakangan ini banyak melibatkan keluarga, atau individu dikenali di mana terdapat pelbagai faktor yang mendorong jenayah itu berlaku.
“Banyak faktor yang boleh menjadi penyebab kes bunuh antara orang yang mengenali satu sama lain.
“Sebagai contoh, banyak kes-kes bunuh yang berlaku disebabkan cemburu ataupun masalah melibatkan duit,” katanya kepada Kosmo!.
Tambah Shahul, bagi mencegah masalah itu penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan peningkatan kesedaran masyarakat memainkan peranan yang amat besar.
Jelasnya, orang ramai juga perlu sentiasa peka dengan keadaan dan tingkah laku orang sekeliling supaya kejadian jenayah dapat dikesan lebih awal.
“Bagi kes-kes seperti orang hilang, sekarang ini semua menggunakan telefon pintar. Kalau boleh perkongsian lokasi itu diaktifkan dan kongsi bersama ahli keluarga supaya mereka boleh tahu di mana kita berada.
“Selain itu, bagi keluarga mangsa yang hilang pula, terus laporkan kepada pihak polis supaya tindakan segera dapat dibuat sekali gus dapat mengelak kejadian ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
“Jangan leka bila ada keluarga atau orang kita kenal tidak dapat dikesan,” ujarnya.
Selain itu jelasnya, akses kepada perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan perlu dipertingkatkan bagi menangani permasalahan ini.
“Sifat kasih sayang dalam negara kita seperti sudah berkurang. Justeru, nasihat saya, kita semua perlu menjaga hubungan sesama keluarga, di mana bila berlaku persengkatan segera selesaikan secara baik.
“Selain itu, apabila ternampak ada ahli keluarga kita atau orang dikenali mula bersikap aneh, cepat-cepatlah pulihkan mereka kerana dalam pelbagai keadaan seperti kemurungan, pengaruh dadah boleh menyebabkan seseorang itu bertindak luar biasa,” jelasnya.
















