APABILA pihak berkuasa bertindak menyerbu premis-premis bawah kendalian GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), maka berpusu-pusu netizen mengulas dan memberi kupasan mereka terhadap isu berkenaan.
Kelihatan masing-masing dengan pandangan tersendiri, ada yang mengambil jalan tengah, pro dan kontra. Kadang-kadang ada yang bernas, namun banyak juga yang sampah.
Begitulah rakyat Malaysia, apabila timbul sesuatu kes yang besar maka berlumba-lumbalah sebilangan mereka mahu memperlihatkan diri sebagai yang terpaling bijak, serba tahu dan terlajak pandai.
Sepatutnya serahkanlah tindakan tersebut kepada pihak berkuasa, polis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, pihak berkuasa agama negeri, pihak kerajaan tempatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi-agensi berkaitan.
Yakinlah bahawa tindakan tersebut tidak dilakukan secara semberono atau pakai tangkap muat, berdasar andaian dan khabar angin semata-mata.
Malah cukup dangkal apabila ada yang mengaitkan tindakan tersebut sebagai usaha untuk meruntuhkan empayar perniagaan dan kekayaan syarikat milik Muslim dan Melayu.
Dakwaan seperti itu seolah-olah pihak berkuasa di negara ini tidak ada kerja lain untuk diurus dan diselesaikan! Meletakkan sangkaan buruk seperti itu menunjukkan bahawa mereka tidak faham dan tidak tahu mengenai isu sebenar yang berlaku.
Berkali-kali dijelaskan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa pegangan yang dibawa pengikut GISBH adalah terlalu taasub dan mendewakan pemimpin mereka sehingga memutarkan ajaran Islam sebenar.
Siasatan awal juga mendapati kaedah perniagaan mereka telah dimudah cara dengan pegangan Aurad Muhammadiah versi mereka.
Proses ini mirip seperti indoktrinasi yang akhirnya menjadi nilai kehidupan yang dipercayai dianuti sepenuh hati pengikut-pengikutnya.
Doktrin ini sangat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini kerana kebajikan serta masa depan pengikutnya akan bergantung penuh kepada pemimpin-pemimpin mereka sahaja.
Empayar perniagaan mereka seolah-olah cubaan untuk melindungi aktiviti indoktrinasi kerana jika bersandar perniagaan sebenar pasti para pekerjanya dibayar gaji setimpal, anak-anak tidak diabaikan, ada pelunasan cukai yang menyumbang ekonomi negara selain zakat untuk membantu golongan miskin dan asnaf yang lain.
Sebilangan pendapat dikaburi dengan kekuatan empayar perniagaan kumpulan ini selain kekayaan yang dimiliki menyebabkan mereka meminta supaya pihak berkuasa cuma menumpukan kepada pelanggaran undang-undang berkait ajaran sesat.
Mereka meminta supaya operasi perniagaan tidak disekat bagi membolehkan empayar perniagaan dan kekayaan yang ada tidak runtuh dan hilang begitu sahaja.
Begitulah sebahagian pandangan yang boleh dinyatakan di ruang terhad ini. Kita bimbang jika buah fikiran mengarut seperti ini dibiarkan, tidak selesai satu ajaran sesat maka muncul pula ‘ajaran sesat netizen’ yang menyesatkan orang lain.
Dunia kini akhir zaman. Semoga kita sentiasa diberi petunjuk dan hidayah-Nya.















