fbpx
PELAJAR IPT daripada keluarga miskin perlu dibantu untuk meneruskan pengajian.

Penghulu, imam, jiran lapor jika ada pelajar susah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kisah seorang anak nelayan, Wan Nur’alyaa Awang, 20, dari Tok Bali, Pasir Puteh yang hampir berputus asa untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia lantaran ketidakmampuan keluarganya baru-baru ini meruntun hati orang ramai.

Alhamdulillah, setelah kisahnya disiarkan Kosmo!, ramai yang tampil membantu.

Dana sebanyak RM20,000 berjaya dikumpul dalam masa tidak sampai satu hari sehingga menyalakan semula impian anak gadis itu untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut pada 4 Oktober ini.

Sebelum itu, ada beberapa kes lagi melibatkan pelajar pintar yang mendapat tempat ke IPTA, tetapi menghadapi masalah yang sama seperti Wan Nur’alyaa turut dibantu apabila kisah mereka disiarkan di media-media arus perdana.

Hakikatnya, seramai 159,027 pelajar telah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian di IPTA pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, seramai 83,667 orang ditawarkan ke universiti awam, 43,531 ke politeknik, 26, 474 ke kolej komuniti dan 5,355 lagi ke institusi latihan kemahiran awam.

Bagaimanapun, daripada 159,027 pelajar terbabit, rasanya masih ada dalam kalangan mereka ini yang tidak menjawab panggilan ke IPTA kerana masalah kewangan keluarga.

Sedangkan impian dan keinginan mereka ke IPTA sebenarnya membuak-buak, tetapi terpaksa menguburkan impian tersebut kerana ketidakmampuan keluarga membiayai pengajian.

Masalah mereka mungkin tidak sampai kepada pengetahuan media atau pemimpin setempat dan mereka pula malu atau merasa sudah tidak mempunyai saluran untuk meluahkan kesempitan yang dihadapi sehingga keinginan untuk menyambung pengajian dibiarkan terkubur begitu saja.

Jadi ketika hampir sebahagian besar IPTA di seluruh negara khususnya universiti awam masih lagi dalam proses mendaftar pelajar ketika ini, anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan ini masih mempunyai waktu untuk bertindak.

Paling tidak, ambil sedikit inisiatif menghubungi IPTA yang menawarkan tempat kepada anda dan beritahu masalah yang dihadapi.

Para pemimpin setempat pula, tidak kiralah sama ada penghulu, ketua kampung, imam atau jiran-jiran terdekat, jangan biarkan anak-anak yang pandai yang dekat dengan anda tidak mendaftar diri ke IPTA hanya kerana keluarga mereka miskin.

Mainkan peranan anda dan bantu mereka. Jika tidak mampu dengan wang ringgit, bawa permasalahan pelajar ini kepada pihak berwajib supaya akhirnya anak-anak yang pandai ini dapat belajar di menara gading.

Pihak IPTA biasanya akan mempunyai pelbagai bentuk dana untuk membantu dan meringankan beban pelajar-pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan ini.

Paling tidak, mereka akan diberi peluang untuk mendaftar dahulu tanpa sebarang bayaran yuran sebelum dibantu melalui tabung-tabung kebajikan khusus untuk pelajar termasuk tabung zakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN