SKUAD sepak takraw negara telah membuktikan bahawa Malaysia tidak ketandusan bakat terutama selepas meraih pingat emas di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Mei lalu menerusi acara ‘double’ dengan menewaskan Thailand.
Bagaimanapun, hasrat Malaysia untuk menambah pingat dalam acara berpasukan gagal apabila Thailand sekali lagi menjadi tembok penghadang untuk menamatkan penantian 33 tahun ke atas skuad gajah perang itu.
Kekecewaan juga gagal dipadam pada Piala Raja Thai awal bulan lalu dan ketiadaan tekong emas negara, Syahir Rosdi ternyata memberi kesan cukup besar apabila skuad kendalian Ahmad Jais Baharun.
Penulis yang diberi tanggungjawab untuk membuat liputan sepanjang aksi Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa pada Mei lalu menyaksikan Malaysia sebenarnya mempunyai kemampuan untuk ‘ajar’ Thailand.
Namun, batasan yang ada ketika ini adalah negara tidak memiliki ramai tekong terbaik.
Perkara tersebut diakui Ahmad Jais dan ketika ini sedang mengesan bakat-bakat baharu untuk diketengahkan kerana tahun depan skuad akan menghadapi Piala Asia 2024 di Malaysia dan juga Sukan SEA Bangkok, Thailand.
Tegas Ahmad Jais, tekong adalah tunjang kepada skuad regu berpasukan dan amat penting Malaysia memiliki ramai tekong-tekong terbaik.
“Secara peribadi saya harap pemain lupakan kejayaan lalu dan fokus ke hadapan. Jika kita lihat pada ketika ini terdapat sedikit pengurangan prestasi pemain negara khususnya menerusi kawalan bola dan juga serangan tekong kita. Itu antara membataskan pasukan kita untuk bergelar juara terutama mengatasi Thailand.
“Perkara utama dalam sepak takraw adalah posisi tekong dan jika serangan servis tekong tidak berapa ‘gigit’ yang mampu mematikan bola lebih awal, itu akan mendatangkan masalah.
“Posisi tekong, variasi serangan serta konsistensi itu adalah sangat penting. Jadi, buat masa ini kita perlu perbaiki dari semasa ke semasa. Paling penting kita perlu dapat melahirkan lebih ramai tekong berkaliber.
“Saya akui ketiadaan Syahir di Thailand ternyata memberi kesan kepada pasukan. Jadi, kita perlu memantapkan prestasi negara bermula sekarang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ahmad Jais turut berharap pemain-pemain yang beraksi pada Sepak Takraw League (STL) 2024 perlu mempamerkan aksi terbaik agar barisan kejurulatihan mempunyai pilihan menyerap mereka yang terbaik ke dalam program kebangsaan tahun depan.
“Selepas ini, latihan lebih intensif, termasuk pendedahan di peringkat antarabangsa, sangat penting bagi mempersiapkan pemain menghadapi cabaran besar seperti Thailand. Penerapan strategi yang lebih dinamik serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan permainan lawan juga harus diperhalusi.
“Buat masa ini, kita telah kenal pasti beberapa pemain. Cuma kita harapkan pemain tersebut buktikan mereka layak bersama pasukan negara. Saya harap mereka tunjukkan potensi bakat mereka yang sebenarnya mereka layak menyarung jersi kebangsaan,” katanya.














