HIDUPAN liar dan manusia telah mengalami kesan akibat perubahan iklim seperti banjir kilat, ribut dan gelombang haba yang menyebabkan kerosakan tanah pada setiap tahun.
Fenomena itu berlaku kesan daripada peningkatan suhu global pada setiap tahun yang menyebabkan lebih banyak ais cair dan meningkatkan paras air.
Pakar di Malaysia telah berkongsi bahawa penduduk tempatan memahami keseriusan krisis planet ini. Jadi, mereka tampil dengan penyelidikan mengenai sumber semula jadi Bumi seperti tanah.
Dalam usaha mengurangkan risiko kerosakan tanah berterusan, Saintis Tanah dan Presiden Persatuan Sains Tanah Malaysia (MSSS), Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah telah mengkaji cara menambah baik kesihatan tanah.
Melalui penyelidikan itu, Rosazlin berkongsi penemuannya untuk menyelamatkan Bumi menerusi penghasilan Biochar sebagai penyelesaian mesra alam bagi menanam tumbuhan sihat.
Menurutnya, Biochar ialah bahan seperti arang yang dihasilkan daripada tumbuhan melalui penukaran sisa biojisim di bawah proses pirolisis.
Pirolisis adalah proses bahan organik dipanaskan tanpa kehadiran haba.
“Biochar mempunyai keupayaan untuk merangsang pertumbuhan bakteria penggalak tumbuhan yang dipanggil rhizobacteria.
“Ia merupakan bakteria kolonisasi akar yang bermanfaat untuk tumbuhan. Oleh itu, Biochar membantu meningkatkan kemasinan tanah.
“Ia juga boleh mengasingkan karbon secara kekal di dalam tanah, sekali gus mengurangkan jumlah karbon di atmosfera,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.
Tambahnya, sebagai bahan yang kaya karbon, Biochar mengekalkan karbon dengan selamat dalam bentuk paling stabil untuk jangka masa panjang.
Ujarnya, pada masa sama, ia tidak memberi kesan berbahaya kepada tanah.
Katanya lagi, penggunaan Biochar akan memberi manfaat besar kepada semua seperti petani dan hidupan liar.
Rosazlin dan pasukannya turut menjalankan kajian rumah kaca menggunakan produk Biochar dipanggil Activcurea pada Purslanes biasa (Portulaca oleracea) sebagai tanaman ujian.

Diperolehi daripada ‘cengkerang’ isirong kelapa sawit, Activcurea kaya dengan faedah seperti pengekalan nutrien, pengekalan air lebih baik dan pengurangan larut lesap urea ke dalam tanah serta air.
“Ia juga boleh meningkatkan struktur tanah dan mengurangkan volatilisasi urea.
“Tambahan pula, Biochar mempunyai potensi untuk menyerap dan menangkap ammonia.
“Dengan itu, ia mengurangkan pembebasan ammonia ke atmosfera dan menghalangnya daripada menjadi gas rumah hijau.
“Keputusan ujian menunjukkan Activcurea mempunyai prestasi dan hasil setanding dengan baja pelepasan terkawal komersial.
“Malah, ia dipercayai memberi faedah dan hasil positif di kawasan permukaan Biochar yang berliang, sekali gus membolehkan penyerapan urea berkesan serta mengekalkan nutrien lain diperlukan,” ujarnya.
Ujarnya, sifat Biochar mampu menyerap dan mengekalkan nitrat dan ammonium dalam tanah.
Tuturnya, ia juga boleh menghalang pencemaran air serta eutrofikasi akibat larut lesap nitrat berlebihan.
Secara kolektif, keputusan itu menunjukkan potensi besar Biochar dalam mitigasi iklim.
Melalui penyelidikannya, Rosazlin berhasrat untuk menyebarkan penemuan itu melalui pelbagai saluran, termasuk projek penglibatan komuniti, kertas penyelidikan, media sosial, persidangan serta berita.
“Jalan ini membolehkan kami menjangkau khalayak yang lebih luas, termasuk penggubal dasar dan pemimpin industri, serta memberi kesan lebih ketara kepada komuniti,” kongsinya.














