JENAMA syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD Car kini semakin dikenali dan tidak hairanlah model itu semakin banyak kelihatan di jalan raya Malaysia.
Bermula sebagai syarikat pengeluaran bateri pada tahun 1995, siapa sangka BYD kini menjadi raja industri EV di dunia.
Syarikat China tersebut memintas Tesla untuk merangkul kedudukan sebagai pengeluar EV nombor satu dunia pada 2022 dengan jualan keseluruhan 1.86 juta unit sepanjang tahun lalu yang sebahagian besarnya di China.
Strategi BYD ialah menawarkan EV dengan prestasi yang baik tetapi pada harga yang jauh lebih mampu milik berbanding pesaing.
Terbaharu, awal bulan September lalu, Sime Darby Motors, pengedar rasmi kereta BYD di Malaysia telah memperkenalkan varian terkini BYD Seal Dynamic.
BYD Seal Dynamic yang ditawarkan pada harga RM163,800 itu diperkenalkan selepas kejayaan model Seal merekodkan jualan lebih 2,200 unit setakat Ogos lalu sejak memasuki pasaran tempatan secara rasmi pada Februari 2024.
Pengenalan varian terkini, sedan sporty elektrik itu melengkapkan pilihan varian sedia ada iaitu Premium dan Performance sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan untuk pelanggan di Malaysia.
Sebagai perbandingan, varian lebih tinggi iaitu BYD Seal Premium pacuan roda belakang (RWD) dijual pada harga RM179,800, manakala varian tertinggi iaitu BYD Seal Performance AWD berharga RM199,800.
Bagi penulis, rekaannya yang sporty pasti menarik minat penggemar kereta berprestasi tinggi yang baru mahu mencuba EV kerana kecekapan aerodinamiknya. Sedan empat pintu dengan gaya coupe ini menampilkan garisan bumbung yang condong dan dek belakang yang pendek.

pada kenderaan ini boleh diputarkan mengikut cita rasa pemandu.
Direka oleh bekas pereka Audi yang kini Ketua Pereka Global BYD, Wolfgang Egger bersama pasukannya, Seal digambarkan sebagai sebuah jentera yang memiliki imej yang menawan berasaskan falsafah ‘Ocean Aesthetic’.
Menariknya, lampu kabus Seal Dynamic tampil dengan rekaan yang lain daripada lain yang memberikan imej futuristik pada sedan ini.
Selain itu, pemegang pintu Seal adalah jenis terbenam yang bersatu dengan badan dan boleh ditarik keluar selain memiliki bumbung panoramik suria.
Jentera diperkemas dengan rim aloi rekaan unik bersaiz 18 inci dengan dibaluti tayar profil 225/50R18 dan varian Seal Dynamic didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Cosmos Black dan Aurora White.
Menjengah ke ruangan kabin, sedan EV ini berekaan minimalis dengan kemasan dalamannya berkerusi warna hitam serta tombol gear kristal.
Menarik juga, skrin sentuh infotainment bersaiz 15.6 inci boleh dipusingkan dengan sokongan sistem pintar BYD dan disepadukan bersama Aplikasi BYD.
Perincian lain termasuklah disertakan bersama sistem audio premium 12 pembesar suara Dynaudio dan dilengkapi sistem penapisan PM2.5.

Beralih pada kuasa, Seal Dynamic dibekalkan dengan bateri LFP Blade berkapasiti 61.44kWh yang jauh lebih rendah daripada model Premium dan Performance. Ia berupaya menghasilkan 201hp dan tork maksimum 310Nm yang mampu memecut dari pegun hingga 100km/j dalam tempoh masa 7.5 saat.
Selain itu, Seal Dynamic turut dilengkapi ciri vehicle-to-load (V2L) serta mempunyai ruang but berkapasiti 400 liter dan tambahan 50 liter di bawah bonet.
Jadi tidak menghairankan mengapa varian Seal Dynamic mempunyai jarak gerak terendah dalam keluarga Seal iaitu pada 510 kilometer bagi pengecasan penuh.
Selain itu, kelajuan pengecasan DC untuk Seal Dynamic juga terhad kepada 110kW, tidak seperti dua varian lain yang boleh mencapai setinggi 150kW.
Dari segi keselamatan, ia didatangkan dengan kelengkapan sistem kamera resolusi tinggi 360 darjah, sistem bantuan pemanduan tercanggih (ADAS) terdiri daripada Amaran Perlanggaran Berdepan, Brek Kecemasan
Automatik, Bantuan Pengekalan Lorong dan banyak lagi.
Kesimpulannya, penulis melihat rekaan ditampilkan oleh BYD ini sememangnya menarik dan mampu memberi saingan kepada pengeluar EV terkemuka dunia seperti Tesla.
Ini kerana tawarannya bukan hanya dari segi rekaan tetapi harga mampu milik menjadikan sedan sporty EV ini antara yang termurah dalam pasaran Malaysia.














