fbpx
KERETA yang dibiarkan tersadai di bahu jalan boleh dikenakan tindakan sitaan oleh pihak berkuasa. - GAMBAR HIASAN

Letak kereta buruk tepi jalan boleh masuk mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menyita kenderaan yang dibiarkan tersadai sebelum membawa kes tersebut ke mahkamah untuk tindakan lucut hak dan pelupusan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Datuk Amirul Azizan Abd.Rahim berkata, perkara itu antara tindakan lanjut yang boleh diambil selepas pemiliknya ingkar terhadap notis pemberitahuan yang dikeluarkan MPKL mengikut Seksyen 46 (1)(e), Akta 133 kerana meletakkan kenderaan buruk di tempat awam yang menyebabkan halangan awam.

“Individu yang telah dikenakan tindakan sitaan kenderaan juga berdepan surat peringatan setelah carian senarai hitam daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Beliau berkata, di Kuala Langat sahaja, sebanyak 22 buah kende­raan terbiar telah disita sepanjang Januari hingga Mei tahun ini.

Katanya, berdasarkan rekod sepanjang tahun lalu, sebanyak 430 notis pemberitahuan dan 460 notis kesalahan telah dikeluarkan melibatkan sitaan seba­nyak 35 buah kenderaan pelbagai jenis.

“Antara punca banyak kereta terbiar adalah disebabkan kemalangan kereta, tidak cukup wang bagi pembaikan selain tidak boleh dibaiki lagi dan tidak memiliki geran yang sah.

“Rata-rata penduduk juga tidak tahu kaedah melupuskan kenderaan sehingga dibiarkan terbiar seterusnya mencacatkan pemandangan dan menjadi kacau ganggu kepada penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini menganggarkan terdapat lebih 1,500 kenderaan tersadai di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL berkata, jumlah itu berdasarkan penelitian pihaknya di 64 PA dan PPR.

“Tindakan penguatkuasaan susulan akan diambil dengan menunda kenderaan tersadai jika pemilik masih gagal mengalihkan selepas tempoh notis tamat.

“Kesemua tindakan penguatkuasaan ini diambil di bawah Seksyen 46(1)(e) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya.

DBKL berkata, sekiranya pemilik gagal menuntut kenderaan dalam tempoh ditetapkan, tindakan pelupusan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 116 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 akan dilaksanakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN